Wednesday, May 25, 2022

Dr Mahathir hilang taring

Secara Rawak

Adakah Tun Dr Mahathir Mohamad masih berbisa? Atau adakah bekas Perdana Menteri itu beranggapan dirinya masih lagi popular dan disanjung ramai? Atau pemimpin berusia 96 tahun itu kuat beranggapan tidak ada pemimpin lain yang lebih baik daripada dirinya?

Dr Mahathir – tanpa niat untuk memperlekehkannya – sebenarnya berada dalam dunianya sendiri, terperangkap dalam kapsul masa. Zaman untuk Ahli Parlimen Langkawi itu sebenarnya sudah berlalu. Tetapi anehnya, beliau bagai tidak menyedari hakikat ini. Inilah masalahnya.

Alangkah baiknya jika beliau mengikut jejak langkah Lim Kit Siang – seteru dan kini rakan politiknya. Berundur sebagai ahli politik yang aktif, dan memberi laluan kepada pemimpin lebih muda dan lebih berwibawa daripadanya untuk menentukan nasib dan masa depan negara ini.

Biarlah menjadi negarawan yang berjiwa besar, dan bukannya pemimpin yang beranggapan bahawa semua perdana menteri lain atau pemimpin lain tidak baik atau tidak sehebat dirinya.

Beliau secara terbuka menyifatkan pemimpin seperti Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang gagal. Maksud tersiratnya, hanya beliau perdana menteri yang berjaya.

Dr Mahathir harus membenamkan ego politiknya. Ya, sama sekali tanpa bermaksud untuk menafikan jasa dan sumbangannya kepada negara. Beliau telah diberi gelaran Bapa Pemodenan Malaysia atas jasa dan sumbangan memodenkan negara ini termasuk dari segi prasarana dan ekonomi.

Namun, Dr Mahathir perlu mengakui bahawa banyak juga masalah yang dicetuskan oleh beliau ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun 22 bulan. Begitu banyak skandal melanda negara, belum lagi mengambil kira begitu banyak individu, termasuk musuh politiknya diheret di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Seyogia diingatkan, banyak parti politik wujud di Malaysia kerana Dr Mahathir. Parti Semangat 46 wujud selepas krisis politik susulan pertandingan sengit antara Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987. PKR lahir selepas Tun Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada 1998. Malah, Bersatu dan Pejuang lahir pun kerana Dr Mahathir. Banyak krisis politik berlaku pada zaman beliau sebagai Perdana Menteri.

Pemimpin kelahiran Kedah itu pernah menjadi Presiden Umno – parti yang disertainya pada 1946 – tetapi keluar daripada parti itu pada 2016 susulan perbezaan pendapat dengan Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Najib Razak. Selepas itu segalanya menjadi sejarah. Beliau menubuhkan Bersatu, tetapi ekoran Langkah Sheraton pada 2020, akhirnya beliau menubuhkan parti baharu, Pejuang.

Jadi, adakah pemimpin seperti Dr Mahathir masih relevan? Adakah kita masih mahu menyerahkan masa depan negara dan kita semua kepada pemimpin seperti beliau?
Benarkah kita sudah ketandusan pemimpin berwibawa dan karismatik sehingga kita masih perlu bergantung kepada beliau? Mengapakah kita berdepan dengan situasi ini?

Memang, Dr Mahathir dikenali sebagai pemimpin hebat yang memiliki wawasan, berjiwa kental, kaya idea, gemar mencuba sesuatu yang baharu, kuat membaca dan menulis, tegas dan tidak pernah gentar walau ketika berdepan dengan kuasa besar dunia, kuat bekerja dan gigih.

Dr Mahathir menggantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri pada 1981 ketika berusia 56 tahun dan hanya berundur pada 2003. Antara usaha beliau yang paling terkenal ialah memperkenalkan Wawasan 2020, membina Menara Berkembar Petronas dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Beliau turut mengilhamkan pembinaan pusat pentadbiran persekutuan Putrajaya, Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS), Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia.

Persoalannya, adakah Dr Mahathir masih mempunyai aura dan pengaruh politik yang ampuh? Memang, menjelang PRU-14, keupayaannya menyatukan parti pembangkang di bawah PH telah memungkinkan pakatan itu menumbangkan BN dan Najib.
Tetapi kini senario politik sudah berubah, dan tidak lagi sama seperti pada 2018. Malah, kini musuh politik utama yang dikecam dan dibencinya lebih popular daripada beliau dengan tagline, Malu apa Bossku?

Ironinya, pemimpin politik lain juga bagai tidak yakin terhadap keupayaan mereka untuk mengalahkan BN. Itulah sebabnya mereka masih lagi mahu menyantuni dan mendampingi Dr Mahathir. Ya, seolah-olah tanpa Dr Mahathir, mereka tidak bermaya dan hilang arah. Mereka tidak akan mampu menang dan mereka akan kecundang.

Jika tidak tentu Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin tidak akan mempelawanya bekerjasama membentuk Perpaduan Ummah 2.0. Malah, ironinya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga menyatakan hasrat untuk menemui Dr Mahathir untuk maksud yang sama.

Mereka bagai tidak tahu bahawa, Pejuang sebuah parti yang lemah dan tidak berpengaruh. Buktinya, semua 42 kerusi yang ditandinginya di Johor tewas, malah lebih teruk lagi hilang wang pertaruhan. Maksudnya, beliau sudah kehilangan taring.

Bagaimana pemimpin seperti Muhyiddin dan Hadi masih yakin akan pengaruh Dr Mahathir, sedangkan jelas bahawa parti yang dipimpin bekas Perdana Menteri itu tidak berpengaruh langsung. Malah, saya yakin, Pejuang tidak akan memberi kesan dan memenangi banyak kerusi dalam PRU-15 nanti.

Namun, Dr Mahathir mempunyai strategi dan cara tersendiri untuk membuktikan bahawa Pejuang tetap diterima rakyat. Hujahnya, Pejuang dapat memungut lebih 18,000 undi dalam PRN Johor sedangkan keahliannya hanya 5,000 orang di negeri itu! Lagipun, Pejuang tidak mempunyai duit dan tidak menggunakan wang untuk memancing undi!

Tetapi hakikatnya, itu hanya alasan untuk menyedapkan hati. Daripada kenyataan dan tindakan Dr Mahathir, beliau menggambarkan seolah-olah masih lagi mahu menjadi pentakrif politik Malaysia, dan mahu parti politik lain tidak memperkecilkan keupayaan dan potensi parti itu dan dirinya.

Persoalannya, adakah PH akan bergantung kepada beliau? Saya yakin, selepas masih ke dalam lubang banyak kali, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah banyak belajar daripada episod pahit. Tentu beliau tidak mahu dipatuk ular yang sama dua kali.

Kelihatannya, walaupun terdapat usaha dalam kalangan pembangkang untuk bersatu menjelang PRU-15, yakinilah bahawa itu sesuatu yang sukar. Yang jelas, Dr Mahathir tidak akan menjadi watak utama dan pentakrif politik Malaysia menjelang PRU-15 nanti. Zaman Dr Mahathir sudah pun berlalu. Beliau perlu menyedari realiti ini.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara dan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru