Saturday, June 25, 2022

Warga emas maut diseret kereta

Secara Rawak

SERIAN: Seorang lelaki warga emas maut setelah motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 64, Jalan Kuching-Sri Aman, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika mangsa, 66, hendak melakukan pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan di lokasi kejadian.

Katanya, ketika kejadian, mangsa telah berlanggar dengan sebuah kereta yang sedang bergerak dari Serian menghala ke Sri Aman.

“Mangsa bersama motosikal yang ditunggangnya telah diseret oleh kereta.

“Kereta berkenaan telah terbabas ke bahagian sebelah kiri jalan menuju ke Sri Aman dan melanggar sebatang tiang lampu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah di kepala.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Sementara beliau berkata, pemandu, 50, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru