KUCHING: Seorang pelajar maut sementara empat cedera setelah kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Datuk Bandar Mustapha, di sini hari ini.
Mangsa, lelaki berumur 17 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 7.10 pagi berhubung kemalangan membabit sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
“Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat pemandu yang bergerak dari arah bulatan BDC menuju ke arah persimpangan lampu isyarat Stephen Yong hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah kecuaian mangsa yang terbabas sendiri disyaki pandu laju.
Sementara beliau berkata, kesemua penumpang terdiri dari lelaki dan perempuan berumur antara 17 hingga 20 tahun mengalami kecederaan di kepala, tangan, belakang badan dan dada.
“Kesemua mereka telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
