Saturday, June 25, 2022

Ceroboh kubur perbuatan tidak berperikemanusiaan

Secara Rawak

SIBU: Pihak berkuasa di sini digesa mengambil tindakan secepat mungkin bagi pesalah jenayah menceroboh kubur.

Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) berkata demikian bagi mengulas mengenai kejadian tujuh kubur di Tanah Perkuburan Cina, Jalan Bukit Aup di sini yang dipecahkan ketika sambutan Ching Ming, Ahad lalu.

Beliau memberitahu, ini bukan kali pertama tindakan keji itu dilakukan. “Pada akhir Mac lalu, keluarga mangsa membuat laporan polis di Sibu tetapi tidak mendapat perhatian daripada pihak berkenaan.

“Oleh itu, saya memaklumkan mengenai jenayah kubur ini kepada Ketua Polis Daerah Sibu yang baharu kelak untuk segera meneliti tindakan ke atas pesalah. “Jika tidak, samseng terbabit berani untuk melakukan jenayah serupa dan menimbulkan lebih banyak masalah sosial,” tegas Ahli Parlimen Bintulu itu.

Tiong mendakwa, pegawai berkenaan tidak mengambil tindakan yang perlu serta merta selepas menerima laporan pertama. Rentetan itu, katanya, melihat jenayah awal mereka tidak dipandang serius mahupun disiasat, pesalah itu terus mengulangi jenayah mereka dan kini, tujuh kubur dimusnahkan di Tanah Perkuburan Cina, Jalan Bukit Aup di sini. “Gangster atau pesalah ini tidak menghormati orang yang sudah mati.

“Mereka tidak boleh mengganggu tempat persemadian seperti ini. Apakah keuntungan yang mungkin mereka perolehi daripada merompak kubur ini?

“Namun, tidak kira apa kebencian mereka terhadap si mati, menganggu kesucian kubur orang perbuatan tyda berperikemanusiaan. Pesalah juga tidak akan bersemadi dengan aman jika kubur mereka juga diganggu seperti ini,” tegasnya yang juga Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP).

Beliau meminta agar penjenayah ini berhenti melakukan kegiatan tersebut dan memberikan penghormatan yang sepatutnya kepada si mati. Menurutnya, amat mendukacitakan apabila ahli keluarga melawat kubur saudaramara mereka, melihat tempat persemadian dipecahkan serta keranda dibakar.

Oleh yang demikian, Duta Khas Perdana Menteri Ke China itu mahu pihak berkuasa perlu bertindak ke atas jenayah ini secepat mungkin agar keluarga dan sanak-audara mereka yang meninggal dunia dapat kembali bersemadi dengan aman.

“Saya juga menggesa keluarga menghadapi jenayah serupa dengan kubur saudara mereka untuk membuat laporan yang diperlukan kepada polis untuk membawa penjenayah ini ke muka pengadilan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supritendan Dr Collin Babat ketika dihubungi semalam turut mengesahkan pihaknya ada menerima empat laporan berhubung kejadian menceroboh kubur.

“Sebanyak empat laporan polis berhubung kes tersebut telah diterima setakat ini. “Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh tanah perkuburan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru