Saturday, June 25, 2022

Padah ugut mahu bunuh isteri

Secara Rawak

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,700 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap isterinya kerana enggan memberikannya wang untuk membeli dadah.

Tertuduh Tan Kok Peng, 42, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melakukan ugutan bunuh terhadap isterinya yang merupakan warga asing di kediaman mereka di Jalan Elli 7A, di sini, kira-kira jam 2.15 petang, 1 April lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, tertuduh dan mangsa telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai dua orang anak telah menggugut hendak membunuh mangsa kerana permintaannya tidak dituruti.

Pengadu yang bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain lalu membuat laporan polis untuk tindakan serta siasatan lanjut seterusnya membawa penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian.

Hasil siasatan, punca kejadian berlaku kerana tertuduh mengamuk sambil mendesak meminta wang daripada mangsa untuk membeli dadah, namun mangsa memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang.

Tertuduh yang berang lalu mengeluarkan perkataan dalam bahasa Mandirin yang bermaksud ‘saya mahu bunuh you mati’ terhadap mangsa.

Difahamkan, tertuduh mempunyai empat rekod jenayah lampau yang melibatkan kes ugutan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru