Saturday, June 25, 2022

Dua lelaki terbunuh berbalas tembakan dengan polis

Secara Rawak

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes dadah dan jenayah, terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis di Kampung Simpang Tokku, di sini pagi Selasa.

Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC Wan Rukman Wan Hassan berkata dalam insiden kira-kira 11.30 pagi tadi, kedua-dua lelaki itu yang menaiki kereta Honda Civic kuning, melarikan diri ketika ditahan pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan JSJ Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan Ops Kesan.

“Apabila pihak polis meminta suspek memberhentikan kenderaan, suspek telah melarikan diri dengan kenderaan tersebut. Apabila sampai di satu kawasan daripada Wakaf Beruas ke Persimpangan Tok Ku, polis berjaya menghalang mereka dan secara tiba-tiba, salah seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke arah polis,” katanya seperti dilapor Bernama.

Wan Rukman berkata susulan itu pihaknya terpaksa membalas tembakan ke arah kedua-dua lelaki berkenaan, sebelum seorang daripada mereka melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berhampiran.

Katanya, suspek yang melarikan diri itu berjaya dikepung, namun dia enggan menyerah diri menyebabkan polis mengambil tindakan memasuki rumah tersebut.

“Semasa di dalam rumah, suspek telah melepaskan satu das tembakan. Nasib baik terkena penghadang atau shield yang dibawa polis dan di situlah berlaku satu lagi kejadian tembak-menembak antara polis dan suspek,” katanya.

Wan Rukman berkata lelaki itu terbunuh di dalam rumah tersebut manakala seorang lagi rakannya maut dalam kenderaan dinaikinya.

Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan dan maklumat lanjut mengenai mereka masih disiasat.

Katanya, tiada anggota polis mengalami kecederaan dalam insiden tersebut. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru