Thursday, May 26, 2022

Telur, daging ayam cukup

Secara Rawak

KUCHING: Bekalan telur dan daging ayam di Sarawak dijamin mencukupi sepanjang Ramadan, malah sehingga perayaan Hari Gawai akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu, jaminan tersebut diberikan oleh Central Coldstorage Kuching (CCK) selaku pengeluar telur dan ayam terbesar di Sarawak.

“Pada masa sama, harga barangan juga terkawal, malah ada yang kurang daripada harga maksimum yang telah ditetapkan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Tinjauan Mesra Pelancaran OPS Pantau 2022 dan Pengenalan Talian Aduan Tambahan Sempena Bulan Ramadan Serta Hari Raya Aidilfitri di CCK Local City Mall Commercial Centre, di sini, semalam.

Tambahnya, KPDNHEP turut berasa lega kerana pihak CCK telah memberikan jaminan bekalan akan mencukupi di seluruh Sarawak. Beliau juga memberitahu, bekalan dijangka mencukupi di seluruh negara setelah membuat pemantauan serta kajian melalui libat urus bersama dengan industri berkaitan.

Alexander turut menggesa orang ramai agar tidak mengambil peluang untuk mengaut keuntungan yang tidak berpatutan setelah sempadan negara dibuka.

“Jangan suka-suka menaikkan harga barang, itu adalah kesalahan besar,” tegasnya.

Beliau menambah, ada juga kemungkinan peniaga menaikkan harga barangan susulan pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 bermula 1 Mei ini.

“Para peniaga telah diberikan amaran sekiranya bertindak menaikkan harga barang dengan mendadak dan diharap mereka mematuhinya. “Nasihat kepada pengguna, jadi pengguna bijak.

Gunalah aplikasi Price Catcher yang telah diwujudkan bagi membuat perbandingan harga sebelum membeli barang,” ujarnya.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru