Monday, June 27, 2022

Pasukan tentera gagalkan cubaan seludup kereta, usir tiga Pati

Secara Rawak

LUNDU: Pasukan tentera mematahkan cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup keluar sebuah kenderaan di sempadan Malaysia-Indonesia, di sini semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, anggota seksyen ketika melaksanakan rondaan telah terserempak dan menahan sebuah Proton Exora yang mencurigakan kira-kira jam 10.10 malam.

Katanya, kenderaan tersebut dikesan di kawasan Ladang Kelapa Sawit Rimbunan, kawasan Pos Kandaie, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut yang dipandu oleh seorang warga tempatan berumur yang tidak mempunyai cukai jalan yang sah.

“Kenderaan tersebut juga dipercayai untuk diseludup keluar dan dijual di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM 45,000.

Katanya, lelaki berumur 28 tahun itu bersama kenderaan yang dirampas telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, katanya, anggota 1 Divisyen turut menahan tiga lelaki Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Indonesia cuba memasuki negara secara tidak sah.

Beliau berkata, anggota telah terserempak dengan tiga individu mencurigakan di sekitar kawasan Ladang Kelapa Sawit Rimbunan, kawasan Pos Kandaie, kira-kira 300 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Jelasnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati individu tersebut yang terdiri daripada tiga lelaki berusia sekitar 38 hingga 41 tahun.

“Tiada rampasan dibuat dan kesemua Pati tersebut telah dibuat pengusiran dan diserahkan kepada Tentera Negara Indonesia (TNI) dari Pos Kumba Semunying,” katanya.

Tambahnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Lundu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru