Sunday, June 26, 2022

Lima penganggur muda ditahan

Secara Rawak

BAU: Lima penganggur disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah ditahan dalam serbuan berasingan di Kampung Segong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superitendan Poge Nyaon berkata, kesemua suspek berumur antara 19 hingga 37 tahun ditahan menerusi Op Tapis dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki yang sedang berada ruang tamu sebuah rumah, kira-kira jam 8.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan, suspek cuba menyembunyikan satu paket plastik berisi ketulan kristal putih disyaki dadah berbahaya yang kemudiannya dirampas.

“Ujian saringan awal air kencing suspek juga dikesan positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara, beliau berkata, dua lelaki ditangkap ketika sedang berehat di sebuah rumah dalam serbuan kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, kedua-duanya cuba berbohong tidak terlibat dalam aktiviti dadah sehinggalah ujian saringan awal kedua-duanya dikesan positif dadah.

Manakala, beliau berkata, pada serbuan ketiga, tiga lelaki ditahan ketika sedang leka berbual dihadapan sebuah rumah, kira-kira jam 9.30 pagi.

“Pemeriksan mendapati salah seorang daripada suspek memiliki tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah berbahaya dan dikesan positif dadah.

“Manakala, ujian saringan awal air kencing dijalankan terhadap dua suspek yang lain turut dikesan positif dadah,” katanya.

Jelasnya, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 1.80 gram bernilai RM180 sementara kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Poge berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek terlibat dengan penyalahgunaan dadah melebihi satu tahun dengan memberi alasan pengaruh kawan dan ingin mencuba.

Tambahnya, ketiadaan pekerjaan tetap antara salah satu faktor yang menjadikan budaya lepak di sekitar Kampung Segong selain bercampur dengan kawan yang lain.

“Peranan ibu bapa dan penjaga seharusnya menjadikan satu faktor yang boleh mengekang mereka terlibat dengan aktiviti dadah,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru