Thursday, May 26, 2022

Kehebatan Bossku

Secara Rawak

Ketika berkempen dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor baru-baru ini, Bossku, Datuk Seri Najib Razak disambut bagai seorang selebriti.

Tentu bagi sebahagian orang ini satu ironi. Ya, bagaimana seorang yang dibelenggu skandal dan diserang bertubi-tubi oleh musuh politiknya, masih diterima baik oleh pelbagai peringkat masyarakat, termasuk mereka yang pernah menolak beliau dalam PRU-14 pada 2018. Pasti ada yang tidak faham akan fenomena ini.

Ketika menjadi Perdana Menteri selama sembilan tahun dari April 2009 hingga Mei 2018, beliau banyak memperkenalkan transformasi dan inisiatif termasuk Gagasan 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1 Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia, Skim latihan 1Malaysia dan Model Ekonomi Baharu.

Seyogia diingatkan, beliau telah berkunjung ke Sarawak lebih daripada 60 kali ketika menjadi Perdana Menteri – pastinya Perdana Menteri paling kerap ke negeri ini.

Najib menerima sambutan ‘meriah’ dan sambutan karpet merah di Pulau Pinang baru-baru ini, negeri dibeliau pernah di’boo’, pada kempen PRU 2013.

Page: Najib Razak

Najib memulakan ‘lawatan rasminya’ dengan melancarkan sidang kemuncak pelaburan pada 25 April 2022, dengan beramah mesra dengan pimpinan komuniti Cina, dan melakukan ‘walkabouts’ di ‘clan jetty’, destinasi medan selera popular dan pasar malam.

Malah, beliau turut diberi sambutan karpet merah, disambut dengan tarian singa dan dikelilingi sejumlah besar hadirin dalam banyak acara dihadirinya.

Ahli Parlimen Pekan yang mewakili kawasan itu sejak 1976 ketika berusia 23 tahun itu berkunjung ke medan selera Insadunia, di Bukit Mertajam, destinasi makanan utama. Sebelum ketibaannya, sekumpulan Pemuda DAP mempamerkan sepanduk “Bossku Kemaluan Negara”.

Walau bagaimanapun, menurut laporan berkenaan, bantahan itu tidak menjejaskan semangat bagi mereka yang menunggu Najib beberapa minit kemudian, diiringi 11 kenderaan, dengan ada yang mengenakan baju Melayu berwarna merah jambu selepas hadir solat Jumaat.

Najib sebenarnya mendapat pendidikan rendah dan menengah di Institusi St John, Kuala Lumpur. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi industri dari England pada 1974.

Beliau kembali ke Malaysia dan memasuki dunia perniagaan, berkhidmat sementara dengan Bank Negara Malaysia, sebelum menyertai Petronas sebagai pengurus perhubungan awam.

Hakikatnya, di sebalik skandal yang melingkarinya serta serangan bertubi-tubi yang dilancarkan terhadapnya sejak sebelum PRU-14 lagi, popularitinya tidak mengendur.

Memang diakui, menjelang PRU pada 2018, imej dan reputasi beliau tercalar teruk sehingga akhirnya BN terlepas kuasa untuk pertama kali. Malah, satu daripada isu penting yang membantu PH memenangi pilihan raya itu ialah isu 1MDB, Najib dan isterinya.

Najib diberi gelaran yang teruk-teruk termasuk ‘plundering idiot’ atau penyamun tongong, ‘national embarassment’ dan kleptokrat,

Kini, hampir empat tahun telah berlalu, seolah-olah populariti Najib tidak terjejas. Seolah-olah orang ramai sudah tidak mempedulikan kisah berkenaan.

Seolah-olah mereka sudah muak dengan isu membabitkan beliau. Semakin teruk dan agresif beliau diserang, semakin kuat beliau bertahan. Bila pembangkang dan musuh politiknya tidak menggunakan namanya?
Malah, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji untuk terus meratibkan nama Najib. Namun beliau mengakui malu meratib nama Najib, kerana Najib menurut Dr Mahathir, memalukan negara, bangsa dan agama.

Malah, beliau mendakwa, tiada dendam peribadi terhadap Najib. Yang pasti, Najib akan terus diserang dan dibelasah. Tetapi kita semua sudah melihat, kesannya terhadap parti lawan? Mereka tetap tewas dalam pilihan raya kecil dan PRN.

Kelihatannya, isu 1MDB dan kluster mahkamah sudah tidak lagi laku. Pembangkang perlu mencari naratif politik baharu dan isu lain yang dapat menangkap imaginasi rakyat menjelang PRU-15. Jika mereka terus taasub dan asyik dengan isu 1MDB, Najib dan kluster mahkamah, ia pasti tidak akan mendatangkan kesan positif.

Terus terang, kalau diadakan jejak pendapat, antara Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad, siapakah agaknya yang paling popular? Saya percaya Najib masih lagi mendahului dua pemimpin berkenaan. Meskipun sudah kehilangan jawatan, termasuk sebagai Presiden Umno, beliau terus diserang bertali arus, tanpa ampun.

Diakui, sebelum PRU-14, Najib memang diserang dari semua arah. Beliau dikecam, dikritik, diperli, diperlekeh dan dibalun habis-habisan. Pelbagai teknik propaganda digunakan oleh pembangkang untuk merosakkan peribadi dan citranya. Dalam media sosialnya, Najib dan penyokongnya sedar begitu banyak komen negatif terhadapnya. Keadaan ini sudah jauh berubah jika anda meneliti ulasan dan komen netizen dalam media sosialnya.

Selepas kekalahan dalam PRU-14 dan terpukul teruk oleh kekalahan itu dan isu yang membelenggu beliau, Najib telah cuba menjenamakan semula imej beliau. Itu merupakan satu strategi komunikasi politik dan pemasaran politik yang direncana dengan amat baik.

Tentu tiada yang terfikir pada peringkat awal, Najib dapat bangkit daripada keadaan yang dialaminya. Najib sendiri mungkin tidak terlintas sama sekali keadaan sedemikian boleh berlaku. Bukan mudah untuk seseorang pemimpin yang tercalar imejnya, memulihkan reputasinya.

Anehnya, meskipun didapati bersalah dalam kes 1MDB dan turun naik mahkamah, Najib tetap popular, mengalahkan pemimpin lain. Apakah yang menyebabkan Bossku masih dapat diterima ramai dan kekal popular? Ke mana-mana pun beliau pergi, pasti disambut hangat oleh penyokongnya. Ini mungkin menyebabkan banyak pemimpin lain – terutama musuh politiknya – cemburu dan iri hati.

Najib bernasib baik dari satu segi. Tersungkurnya PH dari kerusi di Putrajaya memberi semacam hikmah kepada Ahli Parlimen Pekan itu. Siapa yang menyangka PH dapat hilang kuasa dalam tempoh 22 bulan?

Siapa yang menyangka bahawa Umno/BN dapat kembali berkuasa? Kalau tidak, tentu tidak ada pemimpin Umno yang melompat parti dan menyertai parti lain terutamanya Bersatu yang memerintah pada waktu itu?

Sepanjang PH berkuasa, malah hingga kini pun, Bossku bertindak sebagai pencerah banyak isu. Pelbagai isu membabitkan politik, ekonomi, kewangan dan pendidikan dijelaskannya.

Jika ada serangan dilakukan atau kenyataan yang tidak kena yang keluarkan oleh pihak lain, terutama musuh politiknya, Bossku akan memainkan peranan untuk membetulkan keadaan.

Beliau akan memberi penjelasan dan hujah dengan fakta dan data yang meyakinkan. Inilah kelebihan Bossku yang sukar ditandingi.

Sebagai bekas Perdana Menteri, beliau pasti tahu apa-apa yang diperkatakannya. Tidak mudah bagi musuh politiknya untuk ‘kelentong’ atau memutarbelitkan fakta.

Ya, inilah antara kelebihan dan kehebatan Bossku yang menyebabkan beliau tetap dikagumi.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara dan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru