Tuesday, August 16, 2022

Projek bina Jambatan Batang Igan lancar

Secara Rawak

MUKAH: Pembinaan Jambatan Batang Igan kini siap 24.77 peratus dan pembinaannya mendahului 0.74 dari jadual asal.

Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Aidel Lariwoo, sasaran jambatan siap ialah menjelang tahun 2024 dan pihak kontraktor tidak mengalami masalah untuk mendapatkan bahan binaan dan komponen yang diperlukan.

“Kita jangka tidak akan ada masalah untuk ke peringkat seterusnya dalam pembinaan.

Jambatan ini akan menjadi sebuah jambatan ikonik apabila siap kelak dengan 25 tiang termasuk kabel tinggi, menara pusat serta lampu dibina disepanjang jambatan,” katanya dalam sidang media dalam lawatan kerjanya ke tapak Projek Jambatan Batang Igan.

Ujarnya, jika diteliti pada waktu ini pembinaan semua jambatan utama di Sarawak sedang berjalan serentak.

“Jambatan Batang Igan juga salah satu pelengkap kepada jaringan jalan raya pesisir Sarawak termasuk Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Batang Paloh serta Jambatan Jepak.

“Semua jaringan jalan raya penting ini akan siap sepenuhnya dan ia akan menghubungkan terus dari kawasan selatan, tengah hingga ke utara Sarawak.

“Secara keseluruhannya, kita berpuas hati dengan perkembangan pembinaan projek ini” ujarnya lagi.

Turut hadir pihak agensi pelaksana serta konsultan dan kontraktor pembinaan yang terlibat dalam pembinaan Jambatan Batang Igan.

Rombongan kemudian meneruskan lawatan ke dua lagi tapak pembinaan iaitu Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Batang Paloh.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru