Saturday, June 25, 2022

Wanita didenda miliki Methamphetamine

Secara Rawak

KUCHING: Seorang wanita berusia 24 tahun dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 1.05 gram, dua tahun lalu.

Majistret Zaiton Anuar menetapkan tertuduh Nor, 24, juga boleh dikenakan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki Methamphetamine seberat 1.05 gram semasa berada di sebuah hotel di Jalan Ban Hock, sekitar jam 3.45 petang, 10 Februari 2019.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Menurut fakta kes, pada 10 Februari 2019, sekitar jam 3.45 petang sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Ban Hock.

Hasil pemeriksaan badan kepada suspek tidak menjumpai barang terlarang, namun, pemeriksaan lanjut di dalam bilik yang mereka diami menjumpai dua paket mengandungi Methamphetamine di bawah katil bilik itu.

Kedua-dua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Suspek mengaku dadah berkenaan adalah milik mereka berdua untuk kegunaan bersama-sama dan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga positif dadah.

Terdahulu, rakan tertuduh Izmawi,28, dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau empat bulan penjara atas kesalahan yang sama dihadapi tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru