Thursday, May 26, 2022

Siap sedia hadapi kejohanan kebangsaan

Secara Rawak

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan membantu Persatuan Bola Tampar Bahagian Kuching untuk melaksanakan persiapan kejohanan peringkat kebangsaan dalam masa terdekat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Semawi Mohamad memberitahu, pihaknya akan membantu dari segi persediaan kejohanan khususnya menambah baik serta menaik taraf gelanggang sedia ada.

“SSC akan membantu menambah baik dan menaik taraf gelanggang sedia ada menjelang temasya tersebut nanti.

“Kita berharap dengan adanya kejohanan seperti itu akan memantapkan lagi pemain-pemain atlet yang akan mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung Jun ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap sekali gus merasmikan kejohanan bola tampar pantai Tertutup Bahagian Kuching di Gelanggang Bola Tampar Pantai, Petrajaya di sini hari ini.

Tambah Semawi, beliau berharap kejohanan tersebut dapat membantu persediaan para atlet untuk lebih mantap sebelum mewakili Sarawak menjelang Sukma tahun ini.

Kejohanan terbabit disertai oleh seramai 40 peserta berdaftar bersama 55 orang pegawai urus setia dan juga teknikal.

Jelasnya, kejohanan ini bukan sahaja mempromosikan bola tampar pantai di kalangan pemain Sarawak malah bermatlamat melahirkan atlet-atlet sukan bola tampar pantai yang berprestasi tinggi.

“Dengan kejohanan sebegini kita dapat mengenali bakat-bakat baharu di Sarawak di samping menyiapkan atlet pada kejohanan akan datang.

“Saya berharap pertandingan ini akan dapat diadakan lagi pada masa akan datang dan saya percaya dengan kerjasama daripada kedua-dua pihak (SSC dan Persatuan Bola Tampar Bahagian Kuching) kejohanan dapat diadakan dengan lebih besar dan berkualiti, selaras dengan misi dan visi SSC, ” katanya.

Kejohanan bola tampar pantai Kuching Tertutup 2022 merupakan anjuran edisi pertama SSC dengan kerjasama bersama Persatuan Bolan Tampar Bahagian Kuching.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru