Thursday, May 26, 2022

Lim Kit Siang dan politik pembangkang

Secara Rawak

Veteran DAP, Lim Kit Siang pada Ahad lalu mengumumkan persaraan dalam arena politik. Kongres Kebangsaan parti itu tentu banyak membawa kenangan kepada Kit Siang.

Hal ini bukanlah terlalu mengejutkan kerana beliau pernah membayangkannya sebelum ini.

Bagi sesetengah orang, Kit Siang atau Kit dalam kalangan mereka yang rapat dengannya, sudah seperti ubat yang sudah lupus tarikh. Suatu ketika ada desakan supaya beliau berundur, namun lelaki tabah dan berani ini tidak pernah mahu mengibarkan bendera putih dengan mudah.

Beliau terus berjuang tanpa mengenal erti kecewa dan penat kerana impiannya, sama seperti impian kita semua, ialah mahu melihat Malaysia yang maju, makmur, harmoni dan stabil. Platform parti politik sahaja berbeza, tetapi azamnya sama.

DAP dan beliau terkenal dengan perjuangan ‘Malaysian Malaysia’. Maksudnya, Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP dan Kit Siang ialah Malaysia untuk semua rakyat Malaysia – rakyat tanpa mengira kaum akan menikmati peluang yang sama rata dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya.

Beliau dikenal sebagai pemimpin pembangkang yang sentiasa bekerja keras dan beretika. Pengunduran Kit Siang daripada DAP dan politik bagai menamatkan satu era. Tidak mudah untuk pemimpin pengganti, termasuk anaknya, Lim Guan Eng untuk mengisi kasut besar yang ditinggalkannya.

Sesudah Kit Siang berundur, tentu ada yang akan berasa lega. Setidak-tidaknya, tidak akan ada lagi kenyataan pedas dan kritikan tajam daripada beliau baik di dalam Dewan Rakyat.

Tidak syak lagi, bagi kerajaan, beliau ialah duri dalam daging, tetapi bagi demokrasi yang subur dan matang, orang seperti Kit Siang sebenarnya amat diperlukan. Tentu orang seperti beliau tidak ada tempat dalam sistem kuku besi.

Perlu diakui, pemimpin pembangkang ini telah menyumbang dengan caranya tersendiri dalam mematangkan demokrasi di negara ini, serta membantu untuk memperbaik sistem dan institusi kerajaan hasil daripada kritikan, komen dan ulasannya.

Mungkin ini sukar diakui secara terbuka oleh kerajaan. Hakikatnya, pembangkang dan kepembangkangan yang bertanggungjawab punya tempatnya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Lelaki yang punya empat orang anak ini seorang pemimpin politik yang rajin menulis kenyataan akhar sehingga kadangkala kita berasa bagai tiada hari tanpa kenyataan akhbar daripadanya. Tiada isu penting yang terlepas daripada pengamatan dan perhatiannya. Kit Siang seorang penulis yang rajin, dan telah menerbitkan sekitar 30 buah buku politik.

Yang pasti kita ingat ialah buku Time Bombs in Malaysia dan Skandal BMF yang mengupas pelbagai isu penting negara, termasuk politik, ekonomi, kewangan, sosial dan pendidikan.

Ini antara buku penting ditelaah ketika saya menjalani kursus di universiti puluhan tahun lalu walaupun buku itu ditempatkan di ruang ‘red spot’ atau ruangan pinjaman terbatas. Sesiapa yang mahu memahami corak dan aliran pemikirannya, wajib membaca buku ini dan buku lain yang ditulisnya.

Anda juga perlu membaca biografi beliau, iaitu Lim Kit Siang: Defying The Odds, Lim Kit Siang: Malaysian First dan Lim Kit Siang: Patriot, Leader and Fighter untuk mengetahui jatuh bangun dan liku-liku perjalanan politiknya.

Sama seperti Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau turut mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Pada Mei 2019, beliau menegaskan sanggup bersara daripada politik sekiranya Dr Mahathir tidak menunaikan janji untuk memberikan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kit Siang waktu itu berkata beliau tidak suka membuat pertaruhan tetapi kali ini bersedia untuk berundur daripada arena politik dan tidak bertanding pada PRU-15. Ternyata, akhirnya, beliau mengotakan janjinya itu.

Perjalanan politik beliau begitu panjang, berliku dan berwarna-warni. Beliau pernah disumbatkan ke dalam penjara atas prinsip perjuangannya termasuk bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 18 bulan.

Sedekad kemudian beliau disabitkan dengan lima tuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan kesepakatan senjata yang tidak sesuai antara kerajaan dengan sebuah syarikat Switzerland. Di bawah Operasi Lalang pada 1987, beliau antara pemimpin pembangkang yang terpaksa menghabiskan 17 bulan di bawah ISA.

Pelbagai tuduhan dan label negatif dilemparkan terhadapnya termasuk ekstremis dan cauvinis. Malah, dipanggil sebagai komunis, anak Chin Peng, dan sebagainya.
Untuk itu, beliau dikecam, disumpah seranah, dibidas, dikritik, diperlekeh dan dihina.

Bukan sedikit laporan polis atas pelbagai sebab dan alasan membabitkan beliau. Tetapi Kit Siang yang sering berpindah kawasan DUN dan Parlimen tidak pernah goyah atau mudah digertak.

Persoalannya, adakah label itu patut dan wajar? Atau ia tidak lebih daripada strategi dan serangan yang dilakukan oleh lawan politiknya untuk menghancurkan imej dan reputasinya?

Tetapi bagi pengagum, beliau disifatkan sebagai pemimpin yang berwibawa, berintegriti, lantang, dan berani bercakap benar. Tidak hairanlah ada yang menganggap beliau sebagai seorang patriot dan pejuang. Bagi masyarakat Cina, beliau ialah wira yang memperjuangkan isu membabitkan kepentingan dan masa depan mereka. Semangat perjuangannya tidak pernah luntur; sebaliknya bagai besi waja, semangatnya terus kental dan membara.

Dengan bahasa Melayu yang tidak begitu lancar walaupun sudah berkecimpung dalam politik untuk sekian lama Lim Kit Siang dikenali sebagai pemimpin pembangkang yang berani, tegas, dan kritis.

Banyak penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaan didedahkan oleh beliau termasuk skandal BMF, skandal Penswastaan Lebuh Raya Utara- Selatan, skandal Maika Holdings dan skandal video Vijandran. Beliau pernah diusir dari Sabah kerana secara terbuka menuduh kepemimpinan Ketua Menteri waktu itu, Tun Mustapha Harun sebagai diktator.

Sesungguhnya, dalam tempoh lebih lima dekad Kit Siang yang pernah menjadi wartawan The Straits Times di Singapura dari 1959 hingga 1965 itu telah mengharungi pelbagai kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan.

Namun pemimpin berusia 81 tahun itu tidak pernah berkompromi dari segi prinsip dan cita-cita. Beliau juga pernah berkhidmat dengan Kementerian Kebudayaan Singapura. Apabila DAP didaftarkan pada 1966, beliau dilantik menjadi setiausaha organisasinya sehingga September 1969.

Bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, nama Lim Kit Siang bukan asing lagi. Sejak kecil lagi, nama itu sering muncul melalui media massa, termasuk di kaca televisyen, majalah, akhbar dan portal berita.

Tidak syak lagi, nama beliau sinonim dengan pembangkang. Malah, berbanding dengan pemimpin pembangkang lain, nama beliau sebenarnya berada di papan atas.

Beliau telah berjaya mengubah DAP daripada parti pembangkang kecil yang mengambil bahagian pertama kali dalam pilihan raya umum 1969, sehingga muncul sebagai sebuah parti politik utama yang berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada PRU-14.

Tidak diragui, pemimpin veteran ini telah memberi nafas kepada erti demokrasi yang sebenarnya. Sebagai pemimpin pembangkang, termasuk ketua pembangkang di Parlimen, beliau telah memainkan peranannya dalam proses semak dan imbang.

Tidak syak lagi, DAP dikenali dan berada pada kedudukannya hari ini adalah kerana jasa dan sumbangan Lim Kit Siang untuk lebih 50 tahun. Kegigihan dan pengorbanannya sukar ditandingi.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara dan Profesor Adjung Universiti Malaysia Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru