Saturday, June 25, 2022

Keadaan jenayah di Sarawak berada di tahap yang terkawal

Secara Rawak

KUCHING: Kadar jenayah indeks di Sarawak mencatatkan penurunan sebanyak 188 kes iaitu bersamaan 19 peratus bagi tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama bagi tahun lepas.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Mancha Ata berkata, pada umumnya, keadaan jenayah di negeri ini berada di tahap yang terkawal.

Katanya, dari 1 Januari sehingga 19 Mac, sebanyak 799 kes jenayah indeks dilaporkan berbanding 987 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Walaupun tempoh tiga bulan pada awal tahun ini menunjukkan penurunan, namun kita akan cuba terus cuba mengurangkan indeks kes tersebut berbanding tahun lepas dengan pelbagai pelan dan operasi yang telah dirancang bagi mengawal jenayah-jenayah terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di peringkat Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Mancha berkata, kes jenayah komersial menunjukkan trend peningkatan sebanyak 126 kes (27.4 peratus) iaitu 585 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 20 Mac tahun ini berbanding 459 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, sebanyak RM16.5 juta kerugian dilaporkan dalam tempoh yang sama bagi tahun 2022 manakala sebanyak RM12.8 juta kerugian dilaporkan pada tahun lalu.

Jelasnya, kerugian membabitkan jenayah komersial di negeri ini meningkat sebanyak RM3.7 juta atau 28.90 peratus.

“Usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak dari tempoh Januari sehingga 20 Mac 2022 telah menghasilkan sebanyak 215 tangkapan.

“Seramai 375 orang termasuk 15 kes tahun sebelum telah dituduh di mahkamah. Pertuduhan tersebut melibatkan 330 kertas siasatan dan keseluruhan 585 kertas siasatan dan jumlah pertuduhan sebanyak 56.41 peratus,” ujarnya.

Manakala bagi kes jenayah narkotik, beliau berkata, tangkapan kategori bekalan (pengedar dadah) telah meningkat sebanyak 15.81 peratus.

Katanya, sebanyak 161 tangkapan dilaporkan pada 1 Januari sehingga Februari 2022 berbanding 161 tangkapan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Tambahnya, bagi tangkapan kategori memiliki, jumlah tangkapan meningkat sebanyak 28.14 peratus iaitu 428 tangkapan berbanding 334 tangkapan pada tahun lepas.

“Nilai rampasan dadah telah meningkat sebanyak RM6.342 juta berbanding RM3.244 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas,” jelasnya.

Sementara beliau berkata, jumlah kemalangan jalan raya bagi tempoh 1 Januari sehingga 20 Mac menunjukkan peningkatan sebanyak 553 kes bersamaan 19 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya.

Katanya, tahun lalu hanya mencatatkan sebanyak 2,909 kes kemalangan berbanding 3,462 kes pada tahun ini.

Beliau berkata, peningkatan statistik kemalangan jalan raya ini adalah kerana pertambahan jumlah kenderaan yang berada di atas jalan raya setelah Sarawak beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Januari 2022.

“Namun selari dengan itu, Jabatan Siasatan Penguat kuasaan Trafik (JSPT) Sarawak telah meningkatkan operasi sebanyak 178 operasi iaitu peningkatan 19 operasi atau 12 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2021, iaitu sebanyak 159 operasi yang telah dijalankan.

“Jumlah pengeluaran saman hasil dari operasi juga meningkat sebanyak 10,120 saman atau 118.6 peratus iaitu sebanyak 1,8654 saman telah dikeluarkan pada tahun 2022 berbanding 8,534 saman telah dikeluarkan pada tahun 2021,” katanya.

Justeru Mancha berkata, Jabatan Siasatan Jenayah, Komersil, Narkotik dan Trafik Kontinjen Sarawak diarahkan untuk terus mengekalkan momentum cemerlang sehingga akhir tahun ini bagi memberi impak yang terbaik dalam pencapaian Polis Kontinjen Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru