Saturday, June 25, 2022

Lelaki 51 tahun dipenjara dua tahun, enam bulan miliki dadah

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 29.94 gram, tahun lalu.

Yew Kiun yang bekerja sebagai pekerja am mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan terlarang itu di belakang sebuah bangunan pangsapuri di Jalan Green, di sini, kira-kira jam 5.00 petang, 9 Oktober 2021.

Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kuching telah membuat pemantauan terhadap sebuah kereta pacuan empat roda yang berlegar-legar di belakang kawasan bangunan pangsapuri itu pada tarikh tersebut.

Ketika itu, tertuduh menghampiri sebuah kenderaan dan telah kemudian ditahan oleh pihak polis. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang digunakan tertuduh, pihak polis menjumpai sebungkus plastik berwarna hitam mengandungi sembilan paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi serbuk dan ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu.

Barang kes telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis dan mengesahkan bahawa barang tersebut mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 29.94 gram.

Pegawai Inspektor Mohd Azmei Ahmad memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dikenakan sebagai pengajaran.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru