Wednesday, May 25, 2022

PRU-15 selepas Julai 2022?

Secara Rawak

Keputusan  kemenangan demi kemenangan kerusi BN yang diterima  dari minit ke minit dan dari jam ke jam menjadikan pekarangan bangunan pejabat perhubungan Umno Negeri di Johor Bharu pada malam Sabtu, 12 Mac 2022 bergema dengan teriakan ‘bubar, bubar, bubar (Parlimen)’.

Jeritan itu turut mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang  menuju ke satu lagi ruang masuk pejabat perhubungan itu pada pukul 10 malam.

Susulan kemenangan  besar BN di Johor dan Melaka pelbagai spekulasi timbul. Mungkinkah PRU-15 akan segera diadakan? Atau ia  perlu dilewatkan?

Dalam PRN Johor, jelas BN unggul dibandingkan dengan parti lain yang menentangnya. BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri – melepasi majoriti dua per tiga, sekali lagi bagai mengembalikan kedudukannya seperti sebelum PRU-14. 

PH memenangi 11 kerusi, PN hanya tiga kerusi, PKR dan Muda masing-masing satu kerusi. Pejuang yang bertanding di 42 kerusi bukan saja kalah teruk, tetapi dimalukan apabila kesemua calonnya hilang wang pertaruhan memperlihatkan bahawa parti itu tidak punya pengaruh di Johor. 

Seganas mana dan seagresif mana pun beliau menyerang BN, terutamanya ‘bossku’ dengan memanipulasikan isu 1MDB dan Kluster Mahkamah, ia tidak akan lagi memberi kesan.  

Realitinya, ‘bossku’ jauh leibh popular daripada  Tun Dr Mahathir Mohamad, malah Tan Sri Muhyiddin Yassin. PH perlu lebih kreatif dan ke hadapan dari segi pembinaan naratif politik baharu melalui strategi komunikasi dan pemasaran politik yang lebih ampuh.

Isu berkenaan sudah terlalu lama digunakan dan tidak lagi mampu mengundang perhatian pengundi dan rakyat.  Singkatnya, isu itu sudah basi seperti nasi dan bubur yang basi.

Justeru, PH dan pembangkang perlu mencari strategi dan naratif politik baharu untuk menambat hati pengundi menjelang PRU-15 nanti. Percayalah, kalau PH terus memanipulasikan isu berkenaan menjelang PRU-15, ia tidak akan membawa parti itu ke mana-mana.

Keputusan PRN Johor sekali gus membuktikan Dr Mahathir  sudah hilang taringnya, dan tidak lagi berpengaruh seperti populariti dan penarafannya menjelang PRU-14. Malah, Muhyiddin  bersedia menerima tanggungjawab dengan berundur sebagai Pengerusi PN.

Walaupun tanpa sekutu BN lain, MCA dan MIC  masing-masing memenangi empat dan tiga kerusi. Keputusan PRN kali ini  pasti menjadi rangsangan besar kepada MCA yang tidak menang sebarang kerusi pada 2018. 

PRN Johor menyaksikan 239 calon daripada 15 parti politik bertanding. Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada sejumlah 2,597,742 pemilih berdaftar bagi PRN itu layak mengundi.

Adakah kemenangan besar BN khususnya Umno akan menyebabkannya bertindak mengadakan PRU-15 dalam waktu terdekat?  Kelihatannya, Perdana Menteri konsisten dengan pendiriannya. Jika diteliti sejak tahun lepas lagi, beliau jelas tidak mahu mengadakan PRU-15 secara tergesa-gesa.  

Ketika itu beliau menegaskan tidak mahu tergesa-gesa kerana terdapat ‘urusan belum selesai’ termasuk mengemudi negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19 dan menjamin kestabilan politik. 

Ketika itu Ismail Sabri berkata, beliau  mempunyai tanggungjawab besar untuk melihat keperluan rakyat pelbagai kaum termasuk isu ekonomi dan kesihatan yang tinggal di kawasan luar bandar terbela.

Seyogia diingat, ada dua aliran pemikiran dalam Umno ketika ini berkaitan PRU. Pertama, PRU-15 tidak perlu diadakan dengan tergesa-gesa atau dalam waktu terdekat, sebaliknya penggal yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya. 

Pendirian ini turut disokong oleh Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.  Yang menarik, pembangkang juga bersetuju PRU tidak diadakan dalam waktu terdekat. 

Kedua, kumpulan yang mahu PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat. Kumpulan ini antaranya terdiri daripada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Memang, kemenangan BN/Umno di Melaka dan Johor, malah kemenangan GPS di Sarawak bagai memberi bayangan bahawa  ini akan menjadi antara faktor utama menjadi perkiraan BN/Umno khususnya untuk mendesak supaya PRU-15 diadakan segera. Angin perubahan yang berlaku  ketika ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. 

Hakikatnya, kedua-dua pihak ada alasan masing-masing. Setiap satu mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Bagi parti yang menguasai tampuk pemerintahan, ia pasti mahu mengekalkan kuasa agar terus dapat memerintah dan berada di Putrajaya. Bagi pembangkang pula, ia mahu menewaskan parti pemerintah.

Kerajaan Persekutuan telah memeterai Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Ketabilan Politik (MoU) dengan PH pada September 2022. MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.  

Tujuan akhir adalah  untuk mengembalikan kestabilan politik negara bagi menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi menerusi pendekatan kerjasama dwipartisan.

Setakat 19 Januari 2022,  13 daripada 18 perkara yang terkandung dalam MoU sudah dilaksanakan termasuk usaha mempercepatkan Undi18, pendaftaran pengundi secara automatik dan memperkukuhkan usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. 

Ternyata, MoU tersebut telah mencapai kejayaan dalam menstabilkan keadaan politik negara yang  menyaksikan perubahan kepemimpinan yang kerap sejak 2018. Jika diambil kira tahun 2018 dan kepemimpinan Najib Razak, Malaysia telah menyaksikan empat Perdana Menteri dalam tempoh sekitar tiga tahun. 

Sedangkan dalam tempoh  40 tahun sejak Malaysia dibentuk sehingga pemerintahan Tun Abdullah Badawi pada 2003 selepas pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamad, kita hanya mempunyai  lima Perdana Menteri. 

Keadaan ini berlaku adalah kerana majoriti tipis kerajaan sehingga mencetuskan ketidaktentuan dan krisis politik. 

Dalam keadaan demikian, tindakan mengadakan MoU adalah tepat, menandakan kesedaran pemimpin dwipartisan untuk mengutamakan kepentingan negara lebih daripada kepentingan kuasa dan parti.

Persoalannya, adakah wajar PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat? Atau  lebih munasabah untuk menangguhkannya sehingga penggal sekarang berakhir? Memang ada yang berpandangan bahawa tidak  wajar  dan tidak bertanggungjawab diadakan PRU-15 ketika ini Sebab, kes Covid-19 semakin meningkat dan angka kematian juga tinggi. 

Keadaan kesihatan awam  yang terjejas akibat pandemik Covid-19 perlu distabilkan terlebih dahulu sebelum PRU-15 diadakan. Ya, walaupun negara telah masuk ke fasa peralihan ke endemik, tidak bermaksud pandemik  sudah tamat. Sebaliknya, semua pihak perlu berhati-hati memandangkan PRU-15 melibatkan orang ramai. 

Dengan MoU yang berkuat kuasa, jika kedua-dua pihak akur kepada matlamat dan semangat asal perjanjian itu, maka mereka tidak harus mengocakkan keadaan yang dapat mencetuskan krisis dan ketidakstabilan sehingga menyebabkan PRU-15 tidak dapat dielakkan.

Yang menarik, mengapakah PH tidak bersetuju PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat? Adakah memang benar kerana alasan kesihatan awam? Atau mereka sedar bahawa jika PRU diadakan, ia tidak akan memihak kepada PH?  Justeru,  lebih baik PRU dilewatkan bagi ‘membeli masa’.

Buktinya, kekalahan teruk pembangkang di Melaka, Sarawak dan Johor menandakan rakyat memang kecewa dengan PH.  Rakyat muak dengan prestasi dan kerenah PH selepas mendapat mandat pada 2018.  

Itulah antara sebabnya, pengundi yang menyokong PH dalam PRU lalu tidak mengundi  sebagai tanda protes sehingga peratusan pengundian dalam ketiga-tiga PRN adalah rendah. Rendahnya peratusan pengundian memberi kesan besar kepada PH.  Fenomena sedemikian memberi kelebihan kepada parti dominan, iaitu BN. 

PH kini dalam keadaan paling lemah.  Dalam keadaan lawan lemah, mengapa tidak diambil kesempatan untuk menyerang.  Yang pasti, PH akan gembira kalau PRU-15 dilewatkan sehingga penggal penuh.  Siapa tahu ketika itu, sentimen dan suasana telah berubah, dan isu besar membelenggu kerajaan?  

Mengambil kira keadaan tersebutlah,  ada kumpulan dalam BN/Umno mahu PRU-15 disegerakan bagi memastikan momentum kemenangan yang diraih setakat ini diteruskan. Bagi mereka, inilah waktu terbaik diadakan pilihan raya ketika sentimen rakyat memihak kepadanya.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru