Thursday, May 26, 2022

Oisin sedia cipta sejarah, anak Sarawak pertama tawan gunung Everest

Secara Rawak

KUCHING: Anak kelahiran Melinau, Oisin Jangin Bagly, 25, bakal mencipta sejarah tersendiri selepas dipilih sebagai salah seorang daripada empat peserta seluruh Malaysia dalam misi menawan Gunung Everest, April ini.

Beliau menjadi satu-satunya anak kelahiran Sarawak telah dipanggil khas oleh pendaki solo negara, Ravinchandran Tharumalingan selain tiga daripadanya merupakan seorang pendaki dari Sabah, dan dua dari semenanjung.

Mengambil kira panggilan tersebut, Oisin menganggap ia merupakan cabaran besar yang harus dikecapi demi impian semenjak berkecimpung sebagai malim gunung di Gunung Mulu dan Gunung Murut selama hampir 10 tahun.

Beliau yang begitu teruja dengan peluang itu menyuarakan keyakinan akan memberikan usaha sebaik mungkin dalam menjayakan misi sekali gus bakal melakar sejarah buat diri sendiri dan juga sebagai individu Sarawak pertama menjejaki gunung tertinggi dunia itu.

Sudah pasti hasrat utama saya adalah dapat menawan gunung Everest dengan jayanya selepas berkecimpung dalam aktiviti pendakian selama hampir 10 tahun sebagai malim gunung di Mulu.

“Impian ini adalah peluang keemasan kerana hasrat pertama untuk mendaki gunung Kota Kinabalu bertukar kepada misi yang lebih mencabar, dan tanggungjawab saya kini untuk memastikan misi tercapai dengan menyasarkan bendera Sarawak akan berkibar di puncak gunung tertinggi itu kelak, beliau berkata demikian dalam sidang media di Hospital Pakar KPJ Kuching di sini, hari ini.

Tambah Oisin, beliau kini hanya menumpukan latihan kecergasan secara berterusan sebelum berangkat untuk misi tersebut.

Mengulas bagaimana boleh dipilih sebagai peserta, Oisin memberitahu beliau antara individu yang dipilih oleh Ravi selepas pendaki solo negara itu menemui beliau ketika sedang bertugas untuk menjadi malim gunung sekitar tiga bulan lalu di gunung Mulu.

“Saya mendapat tawaran tersebut pada tiga minggu yang lalu, namun saya sememangnya sudah terbiasa di gunung berikutan bertugas sebagai malim gunung,” katanya.

Jelas Oisin, kemungkinan pengalamannya sebagai malim gunung dan juga keadaan fizikal yang masih cergas antara kelebihan dipilih untuk menyertai misi yang merupakan impiannya sejak dari kecil itu.

Dedah Oisin, persiapan misi iaitu ujian kecergasan fizikal untuk menentukan kecerdasan fizikalnya menjelang misi tersebut dibiayai oleh KPJ Kuching manakala persiapan lain atas inisiatif sendiri.

Beliau dalam pada itu berharap agar para peminat pendaki dapat memberikan komitmen terbaik sekiranya terpilih untuk menyertai misi bersejarah sedemikian sekali gus mampu mengharumkan nama negeri dan juga negara.

Sementara itu, Pengurus Operasi dan Klinikal KPJ Kuching Thomas Ho Ye Jong, mengesahkan ujian kecergasan fizikal membuktikan Oisin dalam keadaan fit sepenuhnya.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu turut mengesahkan akan berangkat ke Kuala Lumpur pada Jumaat (25 Mac 2022) sebelum berlepas ke Kathmandu dan dijangka memulakan pendakian pada April.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru