Sunday, July 3, 2022

Dedahkan pengganggur dengan kemahiran teknologi terkini

Secara Rawak

KUCHING: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) digesa untuk menganjurkan program dan kursus bagi mengatasi masalah kekurangan kemahiran insaniah dalam kalangan masyarakat Dayak.

Acara mahupun aktiviti yang dianjurkan bertujuan untuk mendedahkan golongan penganggur kepada kemahiran teknologi terkini.

Demikian kata, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Makan Malam Persidangan Kebangsaan Wanita Dayak di sini, Jumaat.

“Anda (masyarakat Dayak yang berjaya) telah menghadapi banyak cabaran, tetapi anda telah mengatasinya. Dan ini adalah soal pendedahan dan latihan.

“Jadi, inilah salah satu fokus utama kita dalam mengatasi isu pengangguran masyarakat Dayak.

“Sebagai pengerusi Yayasan Kebudayaan Dayak, saya bersedia untuk bekerjasama membina, melatih dan melengkapkan mereka dengan teknologi dan masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Uggah juga memberitahu bahawa kerajaan negeri fokus terhadap pembangunan bakat sebagai salah satu Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

“Sebab itu juga kerajaan telah menubuhkan sekolah antarabangsa di Sarawak ia bagi mendedahkan pelajar luar bandar kita kepada pendidikan sekali gus memajukan mereka.

“Jadi, jika orang lain boleh melakukannya, orang Dayak juga boleh melakukannya dan kita telah membuktikannya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai PCDS 2030, beliau berkata strategi itu bertujuan untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak kepada RM282 bilion, mendorong ekonominya berkembang dari enam hingga lapan peratus dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

“Ia juga untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM15,000 sebulan dan mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta meningkatkan kecekapan kerja bagi meningkatkan produktiviti melalui data dan inovasi digital,” katanya lagi.

Ujarnya, strategi tersebut adalah menyeluruh termasuk fokus kepada teknologi digital, infrastruktur, pendidikan sehingga melihat kepada minat golongan wanita yang dapat membawa manfaat tanpa mengira kaum dan agama.

“Justeru, saya juga berharap Kerusi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu akan berbincang dan mencari jalan untuk berkongsi mengenai PCDS 2030 kepada lebih ramai orang.

“Ini juga penting untuk ahli SIDS memahami rancangan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” jelasnya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga sentiasa bersedia untuk mendengar maklum balas termasuk kritikan mengenai PCDS 2030 bagi memastikan matlamat untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju berpendapatan tinggi dapat dicapai.

“Ini adalah keutamaan kami, dan anda semua adalah sebahagian daripadanya. Tetapi, jika anda tahu program itu (PCDS 2030), maka ia akan menjadi masalah. “Saya telah membaca banyak komen menarik di media sosial, dan banyak daripadanya menggambarkan mereka tidak memahami apa yang kerajaan lakukan.

“Oleh itu, saya berharap penyelidikan tersebut dapat memainkan peranan mereka dan mungkin menganjurkan forum yang lebih kecil sebagai cara untuk menerapkan pengetahuan terutamanya dalam teknologi,” katanya.

Beliau berkata ini juga selaras dengan rancangan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyediakan rakyat dengan masa hadapan berasaskan teknologi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru