Tuesday, August 16, 2022

84 rumah panjang terima geran MRP

Secara Rawak

SARATOK: Sebanyak 84 rumah panjang di kawasan Dun Krian menerima cek Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Sabtu.

Adun Krian Friday Belik berkata, sebelum ini berlaku kesilapan teknikal seperti nama dan nombor akaun yang dicetak pada cek tidak sama seperti yang tertera pada buku akaun bank JKKK atau persatuan yang menerimanya menyebabkan cek berkenaan gagal ditunaikan.

“Saya bersyukur kerana pada pagi ini dapat kembali menyerahkan cek-cek geran JKKK 2021 kepada 84 buah rumah panjang.

“Sementara bagi rumah-rumah panjang yang belum dapat, mereka akan menerima geran yang sama dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Projek Luar Bandar di Rumah Dayak di sini pagi Sabtu.

Sementara itu, beliau turut menempelak sesetengah pihak membuat tuduhan liar mendakwa kononnya cek geran ditolak pada sebelum ini cek tendang.

“Ingin saya nyatakan sekali lagi di sini, sebab cek berkenaan ditolak disebabkan kesilapan teknikal.

“Kerana ada yang nama atau nombor akaun mereka tidak sama seperti yang terdapat pada buku akaun masing-masing.

“Sebab itu ia ditolak oleh pihak bank dan bukannya cek kosong atau cek tendang seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak pada sebelum ini.

“Jadi, saya mohon kepada pihak di luar sana agar memberhentikan tuduhan tidak berasas dan mempunyai niat tertentu demi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Di samping itu, beliau juga turut menasihatkan ketua kaum dan tuai rumah supaya tidak melibatkan diri dalam penyebaran berita yang tidak sahih di platform media sosial.

“Sebagai seorang pemimpin, seseorang itu hendaklah tahu serta harus sentiasa menjaga integriti dan sahsiah diri mereka.

“Kerana seseorang pemimpin itu harus menunjukkan sikap yang baik agar dapat menjadi teladan dan contoh yang baik kepada orang yang dipimpin.

“Di sini saya menggesa kepada semua KMKK di Dun Krian, silalah berhati-hati selalu dan pastikan setiap berita atau maklumat yang ingin dikongsikan itu adalah sahih dan betul.

“Sebelum mengambil keputusan untuk menyebarkan di platform media sosial seperti Facebook dan sebagainya.

“Saya berharap agar pemimpin di peringkat akar umbi di Krian ini mampu menjalankan tugas dengan baik demi kesejahteraan rakyat di bawah jagaan masing-masing,” kata beliau.

Setakat ini sejumlah RM 473,000 peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2021 berjaya diserahkan kepada 90 buah rumah panjang dan persatuan di Krian.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Saratok, Haron Mahidi, Pemanca Thomas Lamit, dan Pemanca Lim Guan Eng serta yang lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru