Friday, August 19, 2022

Pembinaan Jambatan Rambungan berjalan lancar

Secara Rawak

KUCHING: Kerja pembinaan projek Jambatan Batang Rambungan yang bernilai RM98.49 juta itu sudah 19.28 peratus siap.

Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Aidel Lariwoo  walaupun lewat 35 peratus namun kerja pembinaan jambatan bagi menghubungkan daerah Lundu dengan pusat bandar raya Kuching  itu sedang berjalan dengan lancar.

Katanya,  walaupun projek itu dikategorikan sebagai projek sakit dengan kelewatan sebanyak 35 peratus, namun kementerian akan terus memastikan projek tersebut selesai mengikut jadual.

Projek itu yang dirasmikan majlis pecah tanah oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tuin Openg pada  24 Nov 2019 dijadualkan siap pada Jun 2024.

“Bagi projek jambatan Batang Rambungan ini, salah satu projek sakit, saya menegaskan kepada pihak JKR untuk memastikan projek ini dapat siap pada Jun 2024,” katanya seperti dipetik TVS.

Beliau menambah, sebanyak lapan buah jambatan kini sedang dalam proses pembinaan di sepanjang jalan pesisir dari Kuching ke Sampadi, Lundu, dengan anggaran kos keseluruhan kira-kira RM120 juta.

“Sepanjang jalan pesisir dari Sempadi, Lundu, hingga ke Kuching merupakan sebahagian daripada projek tersebut. Oleh sebab itu, ada sembilan jambatan masih dalam pembinaan, termasuk jambatan Rambungan, dan apabila sudah siap nanti, ia akan memudahkan pergerakan dan membentuk sosioekonomi yang baik di kawasan ini,” jelas Aidel.

Jambatan itu akan memudahkan pergerakan penduduk dari Lundu ke bandar raya Kuching, tanpa perlu lagi menaiki feri.

Jambatan Batang Rambungan merupakan antara tujuh jambatan yang bakal dibina di sepanjang jalan pesisir di negeri ini.

Jambatan-jambatan lain ialah Batang Sadong, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa, Batang Igan dan Batang Lupar.

Ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menyambung rangkaian yang terputus sehingga apabila siap kesemuanya nanti memudahkan pergerakan dari selatan ke utara Sarawak.

Pembinaan jambatan sepanjang 560 meter dijangka akan memberi kesan limpahan sosioekonomi kepada rakyat, terutama penduduk tempatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru