Wednesday, May 25, 2022

Mahu keluar RM10,000 atau tidak?

Secara Rawak

SEBELUM ini, kerajaan telah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran simpanan mereka. Pengeluaran pertama disebut i-Lestari yang berjumlah RM500 sebulan dengan tempoh pengeluaran dibenarkan selama 12 bulan.

Oleh itu, pengeluaran keseluruhan simpanan KWSP pencarum menerusi i-Lestari adalah sebanyak RM6,000.

Selain itu, kerajaan sekali lagi membenarkan rakyat mengeluaran simpanan KWSP yang dipanggil i-Sinar. Pengeluaran i-Sinar membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan KWSP sebanyak RM1,000 sebulan selama enam bulan dengan jumlah keseluruhan adalah RM6,000 lagi.

Tidak berhenti di situ, kerajaan sekali lagi membenarkan pengeluaran simpanan KWSP dipanggil i-Citra yang mencecah RM10,000 dan dibayar secara berperingkat-peringkat.

Baru-baru ini, kerajaan sekali lagi membenarkan pengeluaran simpanan KWSP secara sekali gus berjumlah RM10,000 lagi yang mungkin nama bagi pengeluaran kali ini dipanggil i-Ceria.

Keadaan ini harus diteliti dengan baik dan mendalam agar tidak memberi kesan buruk kepada pencarum di waktu tua.

Pengeluaran yang berjumlah RM42,000 (i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan i-Ceria) untuk seorang pencarum KWSP adalah jumlah yang amat banyak.

Ini bakal memberi impak kepada pencarum pada hari tua kerana pengeluaran yang terlalu banyak memberi gambaran mereka tidak mempunyai simpanan.

Golongan B40 merupakan penerima bantuan yang paling ramai daripada kerajaan seperti Bantuan Prihatian, Bantuan Sarawakku Sayang untuk rakyat Sarawak, Bantuan Sara Hidup, Bantuan Keluarga Malaysia dan sebagainya.

Malah golongan ini juga menjadi penerima kepada banyak bantuan bukan tunai lain seperti bakul makanan, diskaun bil elektrik dan air, bantuan pengecualian bayaran tertentu, bantuan perniagaan kecil dan sederhana serta bantuan membeli barangan sekolah anak-anak.

Memang kita tidak nafikan bahawa himpitan dan tekanan yang dihadapi pada waktu pandemik Covid-19 memberi impak yang besar kepada pendapatan sesetengah pihak terutamanya golongan B40, namun pengeluaran simpanan KWSP perlu difikirkan dengan baik.

Ini kerana, simpanan KWSP yang seharusnya dikeluarkan apabila kita mencapai umur 60 tahun tidak boleh dikeluarkan sesuka hati. Ia adalah simpanan hari tua, simpanan yang akan digunakan untuk menyara kehidupan pencarum apabila kita tidak dapat bekerja lagi atau sudah uzur.

Sekiranya simpanan ini dikeluarkan pada masa sekarang, impak pada hari tua amat memberi kesan terutama kepada perlindungan kewangan yang stabil atau wang saraan.

Desakan daripada rakyat menyebabkan kerajaan terpaksa akur kepada permintaan rakyat, namun perkara ini harus diteliti dengan baik. Ini kerana, penyelarasan caruman KWSP yang harus dibayar oleh majikan bakal memberi kesan kepada peningkatan gaji minimum pekerja pada masa hadapan dan permintaan kenaikan gaji oleh rakyat.

Hal itu berlaku apabila gaji minimum yang tinggi bakal memberi caruman KWSP yang lebih besar. Tetapi di sisi lain, ia bakal memberi kesan kepada pihak majikan yang terpaksa menggaji pekerja dengan gaji yang tinggi dalam keadaan ekonomi yang masih belum berkembang pesat.

Banyak impak lain yang bakal terjadi sekiranya pengeluaran KWSP tidak dikawal sebaikbaiknya sama ada kerajaan atau rakyat sendiri.

Oleh itu, sikap menabung dalam kalangan anak-anak harus disemai dari sekarang agar mereka berjimat cermat mengumpul wang untuk kegunaan diri sendiri pada masa akan datang.

Selain itu, sikap menabung juga penting untuk mengelakkan kita membazir selain mempunyai sumber kewangan pada waktu terdesak. Buatlah pilihan yang bijak sekiranya ingin mengeluarkan simpanan KWSP kerana ia adalah simpanan hari tua anda.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru