Tuesday, August 16, 2022

Lebih RM4 juta tuntutan waris KGC telah diluluskan

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 1,542 pewaris pemilik Kenyalang Gold Card (KGC) sudah menerima tuntutan yang diluluskan berjumlah RM4,626,000 setakat 11 Mac lalu.

Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Mohamad Razi Sitam berkata, antara kelebihan pemegang KGC ini apabila waris boleh menuntut ihsan kematian berjumlah RM3,000 dengan menerima bayaran secara ‘one off’.

“Sejak KGC diperkenalkan pada tahun 2020, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching(PKBMK) telah menerima permohonan sejumlah 64,926 kad dan berjaya mengagihkan 62,154 kad serta berbaki 8,017 kad yang perlu diagihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Satellite Office, Jejak KGC dan Perkhidmatan Kebajikan di Pusat Beli Belah Eco, Petra Jaya, hari ini.

“Untuk program hari ini, kita menjangkakan sebanyak 2,778 kad bakal diterima pemohon bagi kawasan Petra Jaya dan berhampiran,” katanya.

Pada program tersebut, sebanyak 66 buah kerusi telah diagihkan kepada beberapa pusat kebajikan dan kampung seperti Kampung Panglima Seman Lama (10 buah), Pawe Sri Satok (21 buah), Desa Bina Diri (10 buah), Rumah Seri Kenangan, Kuching(15 buah) dan PDK Sentuhan Kasih(10 buah).

Selain itu, seorang ketua keluarga, Chan Vie Pien menerima bantuan cek berjumlah RM3,000 untuk kes bencana ribut. Manakala, Juliana Buma David menerima RM300 beserta barang-barang keperluan untuk bantuan bencana kebakaran.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru