Tuesday, August 16, 2022

Ibu lihat anak dibaham buaya depan mata

Secara Rawak

MIRI: Sedih, pilu dan tragis apabila melihat anak di depan mata disambar buaya ketika sedang memancing udang di Sungai Teling Suai, Niah.

Dalam kejadian pada Rabu, si ibu meraung-raung melihat di depan mata anak bergelut dengan buaya hinggalah diheret ke dasar sungai dan hilang dari pandangan mata.

Insiden sekitar jam 10.30 pagi itu turut disaksikan oleh ibu saudara mangsa yang memancing udang bersama-sama mangsa di lokasi kejadian.

Mangsa dikenali sebagai Demit Chagai, 43 tahun, bersama-sama ibu dan emak saudaranya dikatakan baru sahaja memancing selama setengah jam apabila reptilia ganas itu tibatiba muncul di permukaan air lalu menyambar badan mangsa sebelum diseret ke dalam air sekelip mata.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah Pegawai Bomba Tinggi II Rary Binjie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.10 tengah hari pada hari kejadian.

Menurutnya, ibu dan emak saudara mangsa panik tidak dapat berbuat apa-apa kemudian memaklumkan kepada ahli keluarga dan orang kampung sebelum menghubungi bomba untuk meminta bantuan mencari mangsa di lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, pihak bomba terus dibawa ke lokasi kejadian di tebing sungai yang terletak di Sungai Telong Suai. “Mengikut cerita ibu mangsa, mereka bertiga mula pergi memancing pada jam 10.00 pagi dan kejadian itu berlaku selepas mereka berada di situ lebih kurang setengah jam.

“Ketika itu, mereka sedang asyik memancing apabila air tiba-tiba berkocak dan seekor buaya muncul dari permukaan air dan terus membaham mangsa yang duduk selang dua meter di antara ibu dengan ibu saudaranya.

“Mangsa terus diheret ke dalam sungai sehingga tidak kelihatan lagi,” katanya lagi. Rary berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus diaktifkan pada petang itu dan turut disertai penduduk rumah panjang.

“SAR terus dimulakan pada jam 1.10 petang bersama-sama penduduk kampung sekitar di sekitar Sungai Telong, namun mangsa masih belum ditemui sehingga jam 5.00 petang. “Mangsa merupakan penduduk dari Rumah Flowrence, Sungai Telong sudah bersuami dan belum mempunyai cahaya mata.

“Operasi SAR dijalankan menggunakan bot bomba pada radius tiga kilometer ke hilir dan ke hulu sungai dari lokasi kejadian. “Mayatnya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 1.30 petang semalam,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru