Saturday, June 25, 2022

Kapal TLDM usir 12 bot nelayan asing ceroboh 

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengekang cubaan pencerobohan 12 buah bot nelayan asing daripada memasuki negara, berhampiran Pulau Perak di Kedah, petang semalam.

TLDM dalam kenyataan malam tadi, memaklumkan penyaluran maklumat yang pantas menerusi “Maritime Component Commander Barat, telah mengatur gerak aset yang terhampir iaitu Kapal Diraja (KD) Keris untuk ke lokasi pengesanan awal bot tersebut, di sekitar perairan Tenggara Pulau Perak, pada 5 petang semalam.

“Setiba di posisi pengesanan, KD Keris melakukan pengusiran ke atas lima buah bot nelayan asing di lapangan, manakala tujuh lagi bot dilaporkan dipercayai telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara,” menurut kenyataan itu seperti dipetik Bernama.

Selain itu, Pesawat B200T (RMF 339) milik Tentera Udara Diraja Malaysia, telah mengesan keberadaan 12 buah bot nelayan asing yang dinyatakan di dua posisi berbeza iaitu pada 71 batu nautika dan 57 batu nautika tenggara, Pulau Perak.

Kenyataan itu juga memaklumkan, maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut dan Angkatan Tentera Malaysia amnya, tidak akan berkompromi dalam aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.

“TLDM bersama Agensi Penguatkuasa Maritim yang lain sentiasa memperkasakan kesiagaan aset Op Benteng Laut, demi menjaga perairan dan kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru