Wednesday, May 25, 2022

Transformasi rancak bola sepak Sri Aman

Secara Rawak

SIMANGGANG: Kejayaan pasukan Sri Aman FA merangkul gelaran juara Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 menjadi titik tolak Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA) meningkatkan transformasi pembangunan sukan nombor satu itu di bahagian berkenaan.

Presiden FASA Datuk Francis Harden Hollis berkata, perancangan untuk merancakkan program pembangunan bola sepak secara komprehensif di kawasan berkenaan amat penting.

Katanya ia sebagai langkah awal untuk mengekalkan reputasi hebat Sri Aman atau kini dikenali sebagai Simanggang di pentas dunia bola sepak tempatan.

“Selepas ini, kita (FASA) akan terus memperkasakan program pembangunan bola sepak mencakupi pelbagai sudut.

“Ia sebagai pendekatan awal untuk melihat pembangunan sukan bola sepak di kawasan ini setanding dengan bahagian lain,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sri Aman FA di salah sebuah hotel terkemuka di bandar Sri Aman, malam Sabtu.

Menurut Francis, fokus utama yang dilaksana oleh pihaknya adalah penganjuran kursus jurulatih, kursus pengadil serta meningkatkan penganjuran liga sepanjang tahun.

Setiausaha Kehormat FASA, Alfred Kendim turut menzahir ucapan tahniah kepada pihak pengurusan pasukan Sri Aman FA yang telah berjaya mencetus gelombang baharu dalam dunia bola sepak tempatan.

“Kejayaan menjulang mahkota juara Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 secara tidak langsung berjaya mengembalikan kegemilangan Sri Aman tiga dekad yang lalu,” tegas Alfred.

Beliau turut berharap reputasi tersebut akan dapat dikekalkan pada saingan akan datang.

Hadir sama, Pengurus Pasukan Sri Aman FA, Awang Putrayusrie Awang Redzuan selain pemain dan pegawai pasukan Sri Aman FA.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru