Wednesday, May 25, 2022

Industri buku semakin tenat

Secara Rawak

Dalam seminggu dua ini saya berkesempatan berkunjung ke kedai buku di Kuala Lumpur dan di Kuching. Di Kuching, beberapa buah kedai buku telah ditutup. Ini merupakan satu berita duka kepada peminat buku. Setiap kali kedai buku tutup, setiap kali juga saya berasa sedih.

Sebab, sudahlah kedai buku di ibu negeri sedikit dan kecil, penutupan itu menyebabkan saya risau. Dengan semakin sedikitnya kedai buku, maka semakin mengecillah pilihan saya, apatah lagi kedai buku di Kuching tidak banyak menjual buku terkini, termasuk terbitan universiti tempatan.

Memang, kini kita dapat menempah buku dari dalam talian termasuk Shopee.
Namun membeli buku dalam talian dengan membelek serta membeli buku di kedai buku, tidak sama. Membeli buku di kedai buku, selain dapat mengisi masa lapang, memberi peluang kepada kita untuk meneliti buku yang kita minati.

Sebelum membeli sesebuah buku, menjadi tabiat pembeli untuk memegang dan membelek buku berkenaan halaman demi halaman.

Kulit buku akan diteliti, kemudian kandungan dan ‘blurbnya’ untuk mengetahui sepintas lalu kandungan buku berkenaan. Hanya sesudah pasti bahawa buku itu sesuai dengan minat, bidang dan cita rasa, barulah keputusan dibuat untuk membelinya.

Adakah buku sudah tidak lagi begitu penting kepada rakyat? Adakah memadai hanya dengan membaca bahan ringan melalui portal dan Facebook?
Ketika ke kedai buku, satu daripada bahagian yang saya minati ialah majalah. Baik di Kuala Lumpur mahupun di Kuching, seperkara yang ketara adalah sukar untuk mendapatkan majalah dalam bahasa Melayu.

Ironi, dapat dikatakan majalah terbitan DBP pun sukar didapati di kedai buku ternama di ibu kota. Beginikah nasib terbitan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan di negaranya sendiri?

Saya tidak pasti, adakah ini disebabkan majalah tersebut tidak laku? Atau memang dasar kedai buku ternama untuk tidak menjual majalah berkenaan? Amatlah malang apabila bahan berkualiti terbitan DBP tidak dijual secara terbuka.

Malah, lebih malang lagi jika majalah berkenaan tidak dibeli dan dibaca. Sedangkan pelajar sekolah yang ingin mendapatkan ilmu dan bahan yang berkualiti dari segi bahasa wajib membaca majalah tersebut.

Kalau hendak mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu, bagi saya, membaca majalah DBP adalah sesuatu yang wajib bagi sesiapa sahaja.

Saya masih ingat dalam usaha untuk memperbaiki mutu dan penguasaan bahasa Melayu dahulu, saya terpaksa membaca semua majalah terbitan DBP.

Kandungannya bukan sahaja menarik kerana ditulis oleh penulis terkemuka, bahkan bahasa yang digunakan juga terpelihara dari segi mutunya, terutama aspek ejaan dan tatabahasa.

Adakah majalah dan buku terbitan DBP semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia terutamanya pelajar? Tidak pasti sama jumlah naskhah yang dijual sudah meningkat atau semakin merosot berbanding dengan tahun 1980-an dahulu.

Sekali lagi, adalah sesuatu yang malang jika majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa atau Dewan Pelajar merosot jualannya ketika jumlah pelajar semakin meningkat.
Memang, jangkitan Covid-19 sejak awal 2020 memberi kesan kepada hampir semua sektor dan industri termasuk sektor dan industri buku dan majalah di seluruh dunia.

Malaysia tidak terlepas daripada terkena tempiasnya. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedai buku juga pernah ditutup sehingga memberi kesan besar kepada pemiliknya, penerbit dan penulis.

Sebelum ini, Internet dan portal yang banyak menyediakan bahan bacaan termasuk rencana secara percuma memberi kesan kepada penerbitan majalah dan akhbar.

Sebuah syarikat terkemuka suatu ketika dahulu pernah menerbitkan lebih daripada 30 majalah dalam pelbagai bidang bagi memenuhi cita rasa dan kecenderungan minat khalayak dan pembelinya. Malah, sebuah syarikat milik kerajaan menerbitkan begitu banyak buku menarik, termasuk buku terjemahan. Kita tidak tahu apa sudah jadi dengan nasib syarikat yang menerbitkan buku itu?

Kebanyakan majalah yang kita baca suatu ketika dahulu, tidak lagi berada di pasaran. Inilah zaman gelap dunia permajalahan di negara ini.

Realiti yang perlu dihadapi ialah sukar untuk penerbit majalah dan buku bertahan dalam keadaan orang semakin kurang membaca majalah dan buku.

Pada 2017, sebanyak 17,123 judul buku diterbitkan. Jumlah itu melepasi 50 peratus sasaran Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Nilai jualan buku pula dikatakan sekitar RM800 juta. Kalau ikut piawai UNESCO, jumlah judul yang diterbitkan oleh negara ini pada tahun ini sepatutnya 33,000. Ini tentu angka yang sukar dicapai ketika industri buku bergelut dengan pelbagai masalah.

Industri buku berdepan kemelut dan berpotensi berdepan kelembapan dan kelumpuhan. Jumlah judul, angka cetakan dan jualan pasti akan terpukul teruk. Apatah lagi apabila daya beli peminat dan pembeli buku juga terjejas susulan hilang pekerjaan dan pendapatan yang menguncup.

Adakah kita dapat keluar daripada belenggu kegelapan ini? Atau masih adakah sinar di hujung terowong untuk industri buku negara?

Penutupan banyak syarikat buku dan majalah menjejaskan banyak pihak terbabit, termasuk penulis, penyunting, editor, pereka bentuk grafik, penterjemah, dan ahli profesional yang berkaitan.

Bagaimanakah nasib penulis bebas dan penulis sepenuhnya masa apabila langit mendung menyelubungi dunia perbukuan dan majalah? Namun, ada penulis yang memang menulis dengan penuh semangat walaupun tahu bahawa pendapatan yang diperoleh daripada penulisan tidak berbaloi.

Dengan kebanyakan penerbit sudah ketiadaan modal untuk menerbitkan buku, keupayaan mereka untuk menerbitkan banyak judul tentu terjejas. Dengan itu, jumlah judul yang diterbitkan juga sudah pasti terbatas. Hal ini diburukkan lagi dengan jumlah cetakan yang sedikit.

Sesungguhnya, dalam keadaan sekarang sukar untuk menerbitkan lebih daripada seribu naskhah. Malah, penerbit universiti pun sukar menerbitkan lebih daripada 500 naskhah bagi judul buku akademik. Semakin rendahnya jumlah cetak, bermakna semakin tinggilah kos bagi setiap naskhah.

Untuk menampung kos penerbitan, termasuk royalti penulis, sudah pasti buku berkenaan terpaksa dijual pada harga yang lebih mahal. Berapa orangkah yang mampu dan berminat membeli buku yang mahal?

Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan Covide-19 memang memberi kesan besar. Pesta buku termasuk pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ditangguhkan sedangkan bagi peminat buku ini merupakan pesta yang sentiasa ditunggu-tunggu mereka setiap tahun.

Malah, pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Kota buku pada 2020 juga tidak banyak mendatangkan kesan kerana kebanyakan program dan aktiviti yang dirancang tidak dapat dijalankan dengan secara fizikal dan berkesan. Justeru, sambutan terhadap acara berkenaan terjejas.

Industri buku dan penerbitan majalah negara perlu diberi perhatian berat. Buku berkaitan dengan tamadun manusia, pengembangan dan penyebaran ilmu dan pendidikan. Kalau industri buku lumpuh, maka ini akan memberi kesan besar kepada dunia ilmu di negara ini.

Dr Jeniri Amir

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru