Saturday, June 25, 2022

Tipu pembelian dalam talian RM3.29 juta: Adik-beradik ditahan

Secara Rawak

MELAKA: Polis Melaka menahan pasangan adik beradik, dipercayai terlibat kegiatan penipuan pembelian dalam talian termasuk penjualan lampin pakai buang kanak-kanak, melibatkan kerugian sebanyak RM3.29 juta.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata suspek yang merupakan abang berusia 38 tahun dan adik perempuan berumur 36 tahun itu, ditahan di rumah mereka di Ayer Keroh pada 8 Mac lepas selepas siasatan dan risikan dilakukan hampir dua bulan.

“Tangkapan ini bersabit dengan laporan pada 2016 dibuat dua mangsa yang merupakan penjawat awam, telah tertipu dengan suspek bagi pembelian lampin pakai buang yang ditawarkan menerusi laman sosial Facebook, membabitkan kerugian kira-kira RM838,000.

“Suspek telah menyakinkan mangsa dengan menghantar bekalan pada awal penjualan, namun selepas beberapa transaksi dibuat mereka selalu memberikan alasan kehabisan stok sehingga mangsa merasa tertipu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini seperti dilapor Bernama.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Supt E Sundra Rajan.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata susulan laporan dibuat pada tahun berkenaan, kedua-dua adik-beradik yang licik itu telah menghilangkan diri dan berpindah randah ke beberapa negeri.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek itu dipercayai terlibat dengan 75 kes penipuan di seluruh negara, dan aktif dengan aktiviti itu sejak 2005, selain menggunakan pelbagai modus operandi bagi menipu mangsa.

“Antara penipuan disyaki dilakukan adik beradik itu ialah urusan pembelian kereta, pembelian komputer riba tidak wujud, tipu perniagaan sewa kereta, tipu pakej pembelian telefon pintar dan pakej pelancongan, selain tipu pembelian jongkong emas serta pembelian set aksesori motor.

“Hasil penahanan itu polis merampas tiga telefon bimbit dan sekeping kad keahlian parti politik yang tertera nama suspek dengan menggunakan gelaran Datuk,” katanya.

Beliau berkata suspek utama di reman empat hari bermula tarikh ditangkap sehingga esok, bagi mengenal pasti penglibatan dalam kes-kes penipuan lain manakala suspek kedua yang berperanan sebagai pemilik akaun, diberi jaminan polis selama sebulan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru