Saturday, June 25, 2022

Rugi RM1.3 juta: Polis buka kertas siasatan

Secara Rawak

​​IPOH: Sejumlah 26 kertas siasatan dibuka Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh berhubung kes penipuan “Macau scam” membabitkan anggaran kerugian RM1.3 juta bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Yahaya Hassan berkata, berdasarkan aduan diterima pihaknya pelbagai modus operandi yang digunakan anggota sindiket berkenaan untuk memerangkap mangsa penipuan, antaranya penjenayah akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai bank, pegawai penguat kuasa atau pegawai mahkamah.

“Kebiasaannya, penjenayah akan memalsukan nombor telefon agensi penguat kuasa sebenar seperti nombor telefon Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atau mana-mana Ibu Pejabat Polis Kontinjen atau daerah dengan membuat panggilan telefon kepada mangsa menggunakan komputer di mana skrin telefon bimbit mangsa akan memaparkan nombor yang dipalsukan oleh penjenayah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi seperti dipetik Bernama.

Yahaya berkata, mangsa akan dimaklumkan kononnya mereka terlibat dalam kes jenayah, kemalangan maut, mempunyai hutang, tunggakan bayaran cukai pendapatan atau waran tangkap mahkamah seterusnya mangsa akan diarahkan untuk membuat pembayaran atau pemindahan wang dalam masa yang singkat.

Beliau berkata sekiranya mangsa tidak membuat pembayaran, mangsa diugut akan ditahan atau harta benda mangsa akan disita oleh pihak berkuasa serta penjenayah juga akan memberi amaran tegas kepada mangsa supaya tidak membuat laporan polis atau memaklumkan perkara ini kepada ahli keluarga untuk mengelakkan ianya diketahui umum.

“Dengan ini, polis ingin mengingatkan orang ramai supaya berwaspada apabila menerima panggilan sebegini dan jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, maklumat akaun bank atau membuat sebarang pembayaran melalui bank.

Polis menyeru kepada orang ramai untuk sentiasa peka dan mengambil maklum berkenaan modus operandi yang digunakan oleh penjenayah penipuan Macau Scam tersebut,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru