Saturday, June 25, 2022

Empat ditahan bantu siasatan kanak-kanak hilang

Secara Rawak

KUCHING: Empat individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan seorang kanak-kanak lelaki, Eric Chang Wei Jie sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan warga tempatan berumur 24 hingga 49 tahun.

Katanya, dua kertas siasatan dibuka iaitu kertas siasatan orang hilang dan kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 terhadap aspek kecuaian dan pengabaian terhadap penjaga kanak-kanak terbabit.

“Hasil semakan rekod lampau kesemua suspek mempunyai 17 rekod jenayah iaitu 14 kesalahan dadah, dua jenayah harta benda dan satu jenayah komersial.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek adalah positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman dan soal siasat lanjut akan diteruskan dalam tempoh tersebut.

Dalam masa yang sama, katanya, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi memperluaskan usaha pencarian.

Justeru katanya, pihak polis menyarankan orang ramai untuk tampil memberikan kerjasama jika mempunyai maklumat berkenaan kanak-kanak tersebut di balai-balai polis berhampiran atau terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hasmah Abdul Jalil di talian 013-6852210.

Terdahulu, mangsa, berumur 4 tahun sembilan bulan dilaporkan hilang di Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa, di sini pada 7 Mac.

Mangsa berketinggian sekitar 100 meter, berbadan kurus, kulit berwarna kuning langsat dan berambut pendek dilaporkan hilang oleh keluarganya kira-kira jam 7.42 malam pada hari yang sama.

Pakaian terakhir yang digunakan mangsa sebelum dilaporkan hilang adalah baju-T berwarna biru gelap dan seluar pendek paras lutut berwarna hitam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru