Saturday, June 25, 2022

Lelaki Indonesia miliki senapang angin ditahan di Mukah

Secara Rawak

MUKAH: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan oleh pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kerana tidak miliki dokumen perjalanan yang sah dan memiliki senapang angin pada petang Selasa

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata serbuan dibuat melalui Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan pada 8 Mac 2022 (Selasa) sekitar jam 6 petang di sebuah rumah pekerja di kawasan ladang, Jalan Selangau-Mukah

“Semasa diperiksa, suspek yang berusia 35 tahun yang bekerja sebagai buruh itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan turut menjumpai satu senapang angin, satu botol dipercayai cecair spirit, 20 butir guli, satu karung guni warna putih, dan satu plastik warna biru,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil siasatan awal turut mendapati lelaki yang berasal dari Loko Ry, Nusa Tenggara Timur, Indonesia itu mengaku memasuki Sarawak pada tahun 2019 melalui pintu masuk Tebedu kemudian terus berkerja di ladang kelapa sawit.

“Suspek turut membeli senapang angin, 20 butir guli, dan 1 botol cecair spirit tersebut dari rakannya yang dikenali dengan nama Agus berharga RM50.00.

“Pihak kita turut menghantar surat ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk semakan rekod keluar masuk suspek dan menghantar surat makluman tangkapan ke Konsulat Indonesia dan Interpol.

“Manakala senapang angin yang dirampas kita hantar ke Cawangan Persenjataan untuk ujian kebolehkhidmatan,” ujarnya lagi.

Kes kini masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru