Wednesday, May 25, 2022

Pelancongan: Adakah sinar harapan?

Secara Rawak

Sudah masuk ke tahun ketiga saya tidak berkunjung ke luar negara gara-gara ancaman pandemik Covid-19.  Kali terakhir ke luar negara adalah ke Makkah dan Madinah ketika mengerjakan umrah pada Februari 2020, dan selepas itu ke Indonesia.  Kemudian sempadan  banyak negara ditutup ekoran peningkatan jumlah kes jangkitan, termasuk Malaysia.  

Melancong merupakan satu daripada hobi saya untuk lebih daripada 30 tahun, tetapi aktiviti itu tidak dapat dijalankan lagi. Melancong banyak nikmat dan manfaatnya, termasuk membuka horizon pemikiran. Betullah, jauh perjalanan luas pemandangan. Banyak kenangan manis ketika melancong ke luar negara meskipun tidak dinafikan ada juga yang pahit. Ya, termasuk ditipu oleh pemandu teksi dan kakitangan di lapangan terbang. Kita tentu mahu berkunjung ke negara yang bukan sahaja menarik, tetapi penduduknya mesra pelancong. 

Yang tidak kurang penting ialah negara itu selamat. Tidak ada pelancong yang mahu berdepan dengan masalah ketika di luar negara, termasuk dirompak. Saya pernah menyaksikan bagaimana banyak pelancong dicopet ketika menjejakkan kaki di kota Paris beberapa tahun lalu.  

Ada semacam sindiket terdiri daripada anak muda yang cuba memperdaya pelancong asing dengan tipu muslihat yang licik. Kita perlu lebih berhati-hati ketika menjejakkan kaki di negara orang. 

Keinginan untuk mengembara sentiasa membara, malangnya ia tidak dapat dilakukan ketika ini. Selepas menjelajah ke Timur dan Barat, termasuk di rantau ini, keinginan untuk terus melancong memang sukar dibendung.  

Apakan daya, segalanya masih kelihatan suram ketika ini.  Harap masih ada sinar di hujung terowong. Pada tahun lepas, kita meletakkan harapan tinggi bahawa pandemik akan berakhir pada suku pertama tahun ini. Varian Omicron mengubah segala-galanya apabila dunia menyaksikan peningkatan kes secara mendadak.

Bagi kaki kembara yang suka menjelajah ke pelbagai penjuru dunia, ia  sudah tentu sesuatu yang amat mengecewakan. 

Seyogia diingatkan, sebelum ancaman Covid-19, pelancongan merupakan satu daripada sektor penting dalam ekonomi dunia. Sektor pelancongan menyumbang kepada 10 peratus daripada KDNK global dan lebih daripada 320 juta pekerjaan di seluruh dunia. 

Banyak sektor pekerjaan, secara langsung atau tidak langsung membabitkan pelancongan juga terjejas, termasuk penerbangan, pengangkutan, restoran, mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran, spa, pusat kesihatan, refleksologi dan cenderamata.

Ketika dunia penerbangan mulai muncul pada 1950-an, hanya 25 juta orang pergi ke luar negara. Tetapi menjelang 2020, angka itu melonjak kepada 1.5 bilion. Jumlah kelas menengah yang semakin berkembang susulan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup dan pendidikan, menyebabkan lebih banyak yang mampu melancong dan mengembara ke negara luar. 

Apatah lagi, kini tiket penerbangan semakin murah, dan perjalanan semakin mudah. Melancong ke negara luar menjadi satu kemestian.

Banyak orang mahu mengembara dan menikmati pengalaman baharu. Keunikan dan kelainan pengalaman yang diperoleh hasil kunjungan itu memperkaya pengalaman mereka.

Memang, melancong sesuatu yang amat menyeronokkan, lebih-lebih lagi apabila tempat yang dilawati sesuai dengan cita rasa kita. 

Kita dapat menikmati keindahan panorama alam, membeli-belah, dan menikmati makanan yang tidak pernah kita rasai di dalam negara. 

Sektor pelancongan menyumbang pendapatan utama bagi sesetengah negara, termasuk Thailand. Namun pandemik Covid-19 membawa padah dan dampak besar kepada sektor berkenaan. 

Malaysia mencatatkan lebih  4.3 juta ketibaan pelancong asing pada tahun 2020. Ini merupakan penurunan mendadak sebanyak 83.4 peratus berbanding 26.1 juta pada 2019. 

Tourism Malaysia memaklumkan, kadar pendapatan negara daripada sektor pelancongan turut merudum 85.3 peratus apabila hanya meraih RM12.69 bilion tahun lalu berbanding RM86.14 bilion pada 2019.

Purata perbelanjaan per kapita untuk sektor pelancongan yang direkodkan Malaysia pada 2020 ialah RM2,928, iaitu penurunan 11.3 peratus berbanding RM3,300 pada 2019. 

Penurunan ketara ketibaan pelancong asing ke Malaysia adalah disebabkan oleh penutupan sempadan negara sejak 18 Mac tahun lalu, berikutan penularan pandemik Covid-19.  

Selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020, Kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan virus berkenaan. Dengan itu, pelancong dari luar negara juga tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Tahun 2020 dan 2021 merupakan tahun yang mencabar bagi sektor pelancong negara. Disebabkan  sempadan negara ditutup kepada dunia luar, maka jumlah pelancong dan pelawat ke negara ini atas pelbagai tujuan turut terjejas. Fenomena ini sesuatu yang turut dialami hampir semua negara di dunia, lebih-lebih lagi yang bergantung pada sektor pelancongan. 

Senarai ketibaan pelancong asing dari 10 negara tertinggi adalah dari Singapura (1,545,255), Indonesia (711,723), China (405,149), Thailand (394,413), India (155,883), Brunei (136,020), Korea Selatan (119,750), Jepun (74,383), Australia (72,680) dan Vietnam, 64,184 orang. 

Dari segi perbelanjaan keseluruhan pelancong, lima penyumbang tertinggi adalah dari Singapura, Indonesia, China, India dan Thailand.

Berdasarkan data Persatuan Pelancongan Pasifik Asia (PATA) dan Pertubuhan Pelancongan Nasional (NTO), negara jiran Malaysia di rantau Asean turut merekodkan penurunan jumlah pelancong yang ketara, termasuk Thailand (-83.2 peratus), Singapura (-85.7 peratus), Vietnam (-78.7 peratus) dan Indonesia (-75 peratus).

Sektor pelancongan kelihatannya sukar bangkit dan pulih dalam waktu singkat selagi pandemik ini belum lagi reda. Ingat, jumlah kes harian dan kematian semakin meningkat. Meskipun banyak negara mengambil keputusan untuk menganggap Covid-19 sebagai selesema biasa, tetapi kebanyakan negara belum berani mengambil pendirian sedemikian.

Kita harap akan ada sinar harapan pada tahun ini. Kita berdoa agar ancaman Covid-19  segera berakhir supaya kita dapat menjalankan aktiviti  biasa seperti sebelum 2020, termasuk melancong ke luar negara. Kita tidak mahu terkurung di dalam sangkar selama-lamanya. Sebab, melancong membuka dunia pemikiran dan pengalaman kita.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru