Thursday, May 26, 2022

Budayakan masyarakat agar sihat fizikal dan mental

Secara Rawak

KUCHING: Program Sarawak X-Tive memberikan peluang kepada seluruh rakyat di negeri ini untuk terlibat dengan aktiviti sukan sekali gus dapat melahirkan masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental.

Residen Bahagian Kuching Datuk Sherrina Hussaini berkata, penganjurannya juga mampu mewujudkan masyarakat yang produktif dan berdaya saing.

Menurutnya, program tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan dengan kerjasama Jawatankuasa Sarawak X-Tive Bahagian Kuching yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian.

“Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menetapkan objektif penganjuran program ini sebagai gerakan membudayakan sukan untuk kesejahteraan dan kesepaduan rakyat Sarawak, ia juga selaras dengan visi kementerian Sport for All by 2030.

“Selain itu, program ini turut menyasarkan peningkatan kualiti kesejahteraan hidup dengan strategi penggalakan dan pembudayaan nilai murni serta gaya hidup aktif komuniti di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Perasmian Program X-Tive Bahagian Kuching di Le Park, Dewan Suarah Kuching, pada Sabtu. Tambahnya, mereka juga berharap dengan penganjuran pelbagai aktiviti sempena Sarawak X-Tive Peringkat Bahagian Kuching ini akan mencapai objektif sebagaimana yang disasarkan oleh kementerian.

“Saya juga berharap agar program seperti ini laksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa demi membudayakan cara hidup sihat cergas dikalangan seluruh rakyat Sarawak,” ujarnya.

Terdahulu, antara aktiviti yang dianjurkan adalah senamrobik untuk semua peserta yang hadir, pertandingan dan persembahan silat seni kreatif yang melibatkan seramai 170 orang pesilat dari sekitar bahagian Kuching dan banyak lagi.

Untuk rekod, program tersebut diadakan serentak diseluruh Sarawak semalam dan untuk peringkat Negeri, ia berpusat di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong dalam Bahagian Samarahan serta dilancarkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru