Wednesday, May 25, 2022

Mengapa tidak kunjungi muzium baharu Sarawak?

Secara Rawak

Selain kedai buku, satu daripada tempat yang wajib saya kunjungi apabila melawat negara asing ialah muzium. Jika di kedai buku saya dapat membelek halaman-halamannya, dan kalau berminat dengan kandungannya akan terus membeli buku berkenaan, di muzium  pula saya dapat mengetahui  hal berkaitan dengan demografi, sejarah, warisan dan budaya rakyatnya. Muzium merupakan jalan pintas untuk mengetahui sejarah silam, warisan dan budaya unik rakyat dan negara yang dikunjungi. 

Ketika mengunjungi Paris beberapa tahun lalu, selain melawat Menara Effel, Muzium Louvre yang terletak di Rive Droite Seine di tengah kota berkenaan menjadi tumpuan saya. 

Muzium yang dibina pada 1793 itu merupakan antara muzium yang paling banyak dikunjungi di dunia. Hampir 35,000 bahan pameran dari zaman prasejarah hingga abad ke-19, termasuk 537 lukisan dipamerkan di kawasan seluas 60,600 meter persegi. 

   Muzium Budaya Borneo di Kuching, muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara, akan dibuka kepada orang ramai bermula 9 Mac depan. Perasmiannya akan dilakukan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud malam ini.

   Muzium itu dan bangunan tambahannya dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) menelan kos RM323 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.

Seluas 6,628 meter persegi dikhaskan untuk ruang pameran dalam bangunan baharu dan jumlah keluasan lantai muzium serta bangunan tambahan pula sekitar 31,000 meter persegi. Bangunan lima tingkat itu meliputi pameran kekal, galeri kanak-kanak, bilik majlis, bilik VIP, auditorium, restoran, kantin, kedai cenderamata termasuk galeri seni dan kraf.

              Mengapakah muzium menjadi  daya tarikan? Apakah yang dapat diperoleh daripada muzium? Benarkah muzium sekadar sebagai tempat menyimpan barang purba dan gambar bersejarah?  

Bagi sesetengah orang, muzium dipandang  dengan sebelah mata, malah  dipersepsi sebagai tempat yang statik dan muram, malah menyeramkan kerana menyimpan barang-barang purba atau kuno. 

       Pendidikan sebagai faktor penting dalam fungsi muzium telah  diiktiraf sejak lebih 200 tahun lalu. Muzium dianggap sebagai institusi yang dapat menyalurkan pendidikan budaya dan sejarah kerana muzium mempunyai koleksi yang banyak, sesuai dan menarik. 

Muzium dilihat sebagai satu institusi yang mampu mempelbagaikan proses penyampaian maklumat dan memberi pendidikan budaya dan sejarah kepada pengunjung, termasuk kanak-kanak. 

Kunjungan ke muzium sudah tentu dapat mendedahkan mereka kepada budaya dan sejarah negara, sekali gus menyemai dan memupuk kebanggaan kepada budaya bangsa. 

Sesungguhnya, muzium  boleh dianggap sebagai institusi pendidikan, terbuka kepada sesiapa sahaja  yang mahu memetik pengajaran daripadanya. Objek, artifak  dan gambar yang dipamerkan  begitu penting dalam memberi pengajaran dan pendidikan kepada pengunjung. 

      International Council of Museums mentakrifkan muzium sebagai institusi kekal yang melayani kepentingan masyarakat dan kemajuannya, terbuka kepada orang awam, tidak bertujuan untuk mencari keuntungan, dengan cara mengumpul, memelihara, meneliti, mempamerkan dan mengkomunikasikan benda-benda nyata berkaitan manusia dan lingkungannya, untuk tujuan pembelajaran, pendidikan dan rekreasi. Muzium menyimpan pelbagai koleksi bersifat artistik, teknikal, saintifik, sejarah dan arkeologi  yang dibuka kepada orang awam.

        Mengikut Jabatan Muzium Malaysia,  “di Malaysia muzium merupakan sebuah institusi pendidikan umum menyebarkan maklumat mengenai sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi. Aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh muzium-muzium di negara ini merupakan salah satu usaha yang diharap dapat membantu negara membina dan memperkukuhkan jati diri masyarakat di samping menjadi daya tarikan pelancong.”            

        Jadi, muzium dapat menjadi  bahan penyelidikan dan pembelajaran kerana muzium merupakan tempat kebudayaan dan kesenian pada zaman dahulu yang bernilai tinggi dapat dilihat.  Muzium  mempunyai peranan sebagai sumber pendidikan dan ilmu yang tidak formal kerana di dalamnya tersimpan dan terkumpul banyak bahan dan sumber ilmu yang merangkumi warisan sejarah dan tamadun bangsa yang sangat berharga. Muzium berperanan sebagai sumber rujukan dan pendidikan luar terbuka yang terbaik untuk keluarga, pelajar, mahasiswa, pelancong dan orang awam. 

Dengan kata lain, muzium berperanan untuk mengumpul, merawat dan mengkomunikasikan, melalui pameran, objek, artifak, gambar, budaya benda dan bukan benda masyarakat di dalam sesebuah negara.  Semakin pelbagai kumpulan etnik, sepatutnya, semakin kaya bahan yang dipamerkan di dalam muzium kerana muzium sepatutnya mempamerkan sejarah, budaya dan masa silam masyarakat dan negara berkenaan.

          Dari segi sejarah, pada masa gelap di Eropah,  golongan bangsawan dan rohaniawan gereja sangat berminat terhadap benda-benda purba, termasuk penulisan, catatan dan hagiografi. 

Namun setelah zaman pencerahan, ilmu pengetahuan berkembang pesat sehingga timbul hasrat golongan bangsawan untuk mengumpulkan benda-benda purba yang dianggap mereka amat bernilai.  

Golongan berkenaan mengumpul benda-benda itu untuk melengkapi koleksi mereka, bagi memperagakan kekayaan dan status masing-masing.  

      Namun, mereka berdepan dengan masalah ruang. Justeru, golongan bangsawan itu pun mencari jalan penyelesaian dengan menyerahkannya kepada lembaga yang sanggup menyimpan dan merawat benda-benda purba itu. Sesudah melihat minat orang ramai untuk melihat benda-benda, objek dan artifak yang dipamerkan itu amat tinggi, maka muzium muncul bagai cendawan muncul selepas hujan.

        Dengan mengunjungi muzium, orang ramai dapat mengisi masa lapang, menjadikannya sebagai tempat berekreasi, sekali gus sebagai tempat untuk memperoleh pelbagai macam fakta, data, maklumat dan penerangan tentang pelbagai hal  budaya dan sejarah. 

Dengan mempelajari budaya daripada pameran di muzium, rakyat akan lebih prihatin dan cinta akan kebudayaan bangsa. Pentingnya kebudayaan kepada manusia memang tidak dinafikan kerana kebudayaan melindungi diri terhadap alam, mengatur hubungan antara manusia dan menjadi wadah bagi segenap perasaan dan ingatan kolektif manusia.

        Muzium mempunyai banyak peranan dan tanggungjawab, sebahagiannya sebagai warisan. Antaranya, sebagai tempat untuk kajian akademik, sebagai institusi pendidikan, atau kedua-duanya. Kebelakangan ini, muzium bertindak sebagai tempat untuk berinteraksi, malah sebagai ruang untuk mempamerkan ujian, ciptaan, di mana pengunjung dapat mempelajari sesuatu.  

    Hakikatnya, imej muzium sebagai tempat suram dan muram sudah mulai berubah. Hal ini dapat dibuktikan khususnya apabila terdapat pameran khusus yang dianjurkan oleh muzium.  Muzium Negara misalnya pernah mencatatkan jumlah pengunjung yang ramai apabila terdapat pameran yang menarik, misalnya tentang kematian.

           Peranan muzium sebagai perakam dan pendidik budaya memang sudah lama diakui, malah inilah peranan muzium yang paling penting. Pengawetan dan pelestarian warisan bangsa ada kaitan dengan kebanggaan dan jati diri bangsa. 

Pelestarian budaya dan warisan amat penting bagi memungkinan sesuatu bangsa mempelajari daripada kesilapan lalu, memahami pencapaian setakat ini, dan menghargai bagaimana kehidupan sekarang berbanding dengan generasi masa silam. 

Muzium dapat menjadi wadah pembelajaran alternative yang berkesan. Para pelajar dan generasi muda perlu dibawa ke muzium untuk mendedahkan mereka kepada kekayaan budaya bangsa sekali gus menyemai kecintaan terhadap warisan, sejarah dan budaya bangsa.

        Justeru, peranan muzium perlu difikirkan semula dan peranannya dibentuk semula sesuai dengan perkembangan demografi, perubahan nilai budaya, pembangunan ekonomi, perubahan dari segi pendidikan dan latihan, persaingan daripada muzium lain, dan amalan serta peranan muzium yang berubah. Muzium hari ini dan masa depan tidak lagi boleh hanya berperanan sebagai tempat mempamerkan objek atau artifak purba. 

      Muzium perlu diperhebat daripada muzium antropologi, budaya dan sejarah kepada muzium yang mempunyai hala tuju baharu dan peranan yang lebih luas selari dengan perubahan pembangunan dan kemajuan ekonomi negeri.

        Muzium mampu memberi keseronokan dan kenikmatan. Menjejakkan kaki ke galeri pamerannya adalah bagai menjejaki masa silam yang berbalam, tetapi segala bahan pameran melimpahkan cahaya untuk kita lebih mengetahui realiti silam. 

Sambil mengisi masa, anda tentu seronok menikmati pelbagai objek, artifak dan gambar yang dipamerkan. Masa yang diperuntukkan, tentu berbaloi.

Anda tentu terpesona melihat kreativiti dan kekayaan rakyat dari segi budaya. Jadi, mengapa tidak  anda bawa ahli keluarga atau sahabat handai untuk melawat  Muzium Budaya Borneo yang akan dilancarkan  secara rasmi pada malam ini?

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru