Wednesday, May 25, 2022

Jokowi pemimpin hebat

Secara Rawak

Indonesia, negara 272 juta jiwa begitu dekat di hati saya. Saya kerap ke negara 17,500 pulau itu bukan sahaja kerana sejarah dan budayanya yang menarik , tetapi juga kerana penduduknya yang ramah dan makanannya yang enak.

Saya mulai ke negara itu pada 1993 dengan mengunjungi Jakarta, Bandung, Wonosobo, Jogjakarta, Surabaya dan Bali. Sejak itu, boleh dikatakan setiap tahun saya mengunjungi Indonesia, kecuali dua tahun ini disebabkan oleh ancaman Covid-19.

Kunjungan itu memberi saya kesempatan bukan sahaja untuk mengetahui Indonesia dengan lebih mendalam, tetapi juga mengenali pelbagai peringkat masyarakatnya, termasuk medianya. Yang saya kagumi ialah rakyatnya begitu mesra, dan layanan di pusat beli-belah dan kedai luar biasa hebat dan cemerlang.

Dengan lebih 300 suku kaum, tentu dapat difahami mengapa Indonesia kaya budaya dan makanan untuk memenuhi pelbagai cita rasa. Saya telah memerhatikan perkembangan dan perubahan Indonesia secara dekat secara pemerintahan Suharto hinggalah kini era pemerintahan pemimpin hebat, Jokowi.

Suatu ketika orang Malaysia ‘memandang rendah’ negara Indonesia disebabkan negara itu dianggap mundur dan terkenal dengan rasuah.

Dengan perkembangan yang berlaku di Indonesia dan di negara ini sejak sekitar sepuluh tahun lalu, saya tidak fikir bahawa Indonesa negara rasuah dan mundur adalah tepat. Hanya mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke negara itu, termasuk kota besar seperti Jakarta, Indonesia dan puluhan lagi kota dan bandar raya daripada 34 wilayahnya, akan mempunyai tanggapan dan persepsi yang negatif dan salah terhadap negara itu.

Seyogia diingatkan, ekonomi Indonesia adalah yang terbesar di Asia Tenggara dan satu daripada ekonomi munculan di dunia, berada di tangga ke-15 dunia.

Indonesia begitu pantas tumbuh dan berkembang, termasuk dari segi pembangunan infrastruktur dan prasarananya terutamanya bawah kepemimpinan Jokowi. Sesiapa yang pernah ke Indonesia pasti akan kagum dengan jalan Trans Papua sepanjang 4,325 kilometer dan Lebuh Raya Trans-Jawa, pembinaan awal Kereta Api Trans-Sulawesi, dan Lebih Raya Trans-Sumatera.

Jokowi giat membina 24 pelabuhan dan banyak lapangan terbang di seluruh Indonesia yang menelan belanja lebih RM200 bilion. Pembangunan dan pemodenan pelabuhan berkenaan bertujuan untuk mengurangkan ketidaksamaan harga antara bahagian barat negara yang lebih maju dengan bahagian timur yang kurang penduduk.

Pada 2016, belanjawan negara memperuntukkan lebih RM90 bilion untuk prasarana – terbesar dalam sejarah Indonesia.

Kini, yang menarik, pentadbiran beliau melaksanakan program tabung kampung di seluruh Indonesia. Kampung berkenaan menerima pembiayaan untuk prasarana asas seperti jalan raya, bekalan air, pembangunan pelancongan dan perusahaan kampung bagi meningkatkan ekonomi luar bandar.

Anak kelahiran Solo daripada keluarga marhaen itu begitu simple, malah dianggap tidak karismatik oleh mereka yang sangsi mulai menjadi Presiden ketujuh Indonesia sejak 20 Oktober 2014.

Ketika kecil disebabkan sering jatuh sakit, nama asalnya Mulyono pun diubah menjadi Joko Widodo pada usia 12 tahun.

Widodo bermaksud ‘sihat’ dalam bahasa Jawa. Ketika masih kecil, keluarga Jokowi sering diusir oleh tuan rumah kerana tidak mampu membayar sewa. Keadaan dan pengalaman sedemikian memberi kesan besar terhadap dirinya dan kepemimpinannya ketika ini.

Tetapi hakikat yang orang ramai tidak ketahui ialah pemimpin terbilang, disayangi rakyat semua peringkat, terutamanya golongan rakyat biasa.

Sebab, pemimpin berusia 61 tahun itu menyantuni rakyat bawahan selayaknya, menghormati mereka, dan cuba mengatasi masalah harian yang dihadapi oleh mereka.
Jokowi pemimpin akar umbi yang di Indonesia dikenali sebagai memiliki sentuhan kerakyatan.

Peminat muzik rock keras dan peminat Metallica itu akan turun ke akar umbi tanpa banyak protokol, tanpa perlu dihamparkan permaidani merah atau disambut dengan kompang dan bunga manggar.

Tujuannya untuk lebih memahami masalah dan aspirasi rakyat di negara yang begitu besar dan kompleks itu.

Saya masih ingat bagaimana pemimpin popular dan dekat di hati rakyat itu singgah di Sorong untuk membeli jagung rebus, hanya kerana beliau tak sempat bersarapan pada pagi itu.

Ya, kerana begitu teruja untuk berdamping dengan rakyat dan memantau perkembangan di kawasan itu. Penjual jagung berkenaan pantas popular hingga jagung jualannya laku keras selepas itu gara-gara kehadiran Jokowi di gerainya.

Penjual jagung berkenaan enggan menerima wang Jokowi, namun Presiden Indonesia itu tetap mahu membayarnya.

Di Blitar, Jawa Timur pula, ketika memandu beliau terserempak dengan seorang lelaki yang memegang plakad tentang harga makanan ayam yang menggila.

Maka, Jokowi – yang sering dibandingkan dengan Barack Obama itu – menghantar anggota polis untuk membawa lelaki itu berjumpa dengan beliau. Tujuannya untuk mendapatkan masalah yang dihadapi lelaki itu dan para petani dan penternak di situ. Jokowi langsung menghubungi menteri pertaniannya.

Beberapa hari kemudian, sebuah lori membawa 20 tan makanan ayam dihantar ke Blitar, dengan mengenakan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Kini, dengan campur tangan kerajaan, harga makanan ayam telah turun, dan harga ayam juga turun. Semua pihak bersyukur dan berterima kasih kepada Jokowi.

Gaya kepemimpinan Jokowi begitu mudah. Beliau seorang pendengar yang baik. Beliau tidak mudah menyerah kalah. Sejak menjadi wali kota di Solo lagi, sebelum menjadi Gabenor Jakarta, Jokowi telah memperlihatkan sikapnya yang merendah diri dan sentiasa mahu meletakkan telinga dan matanya ke bawah.

Di Solo ketika beliau menjadi wali kota dari 2005 hingga 2012, beliau berusaha untuk memindahkan peniaga kaki lima ke sebuah bangunan yang lebih moden. Itu bukan kerja yang mudah. Beliau menjemput para peniaga berkenaan sebanyak 54 kali ke rumahnya untuk makan dan berbincang.

Akhirnya, selepas penerangan dan pemujukan, kesemua peniaga bersetuju untuk berpindah. Beliau berjaya mengubah wajah kota Solo menjadi kota pelancongan, kota budaya dan kota batik. Saya berkesempatan untuk berkunjung ke kota itu pada 2010.

Jokowi yang punya tiga orang anak ialah antara Gabenor atau Datuk Bandar yang berjaya menjadi Presiden. Dua orang lagi adalah di Korea Selatan dan Filipina.

Ketika kempen, beliau menjanjikan untuk mewujudkan Jakarta Baharu. Ketika dipilih menjadi Gabenor Jakarta, ibu kota 12 juta jiwa, nama Jokowi berada di papan atas. Kemenangan menjawat jawatan itu disifatkan sebagai mencerminkan dukungan popular terhadap pemimpin daripada kalangan masyarakat biasa yang dianggap bersih.

Ketika berada di kerusi itu, dengan pendekatan menyantuni rakyat melalui ‘blusukan’, iaitu pergi ke akar umbi tanpa protokol, namanya cepat meroket.

Gaya yang unik itu sampai menyebabkan The New York Times menggelarkan gaya tersebut sebagai demokrasi jalanan. Ketika menjadi Gabenor Jakarta, banyak sekali inisiatif yang memberi kesan besar kepada rakyat dan warga kota melalui program bantuan sosial dan kebajikan misalnya Kad Jakarta Pintar, Kad Jakarta Sihat.

Susulan dasarnya yang merakyat dan bersifat pragmatik, nama beliau pun naik mendadak sehingga akhirnya diusulkan untuk dicalonkan menjadi Presiden.

Dr Jeniri Amir

Bagi yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang Jokowi, tentu dapat membaca lebih 30 buku yang pernah diterbitkan setakat ini. Atau anda dapat sahaja menonton filem bertajuk Jokowi yang mengisahkan zaman kanak-kanak dan remajanya.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru