Tuesday, August 16, 2022

Dos penggalak kuatkan semula dos vaksinasi 

Secara Rawak

BETONG: Kira-kira 249,000 orang di negeri ini masih belum menerima suntikan dos penggalak Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata suntikan itu amat penting untuk membantu melindungi diri.

“Oleh itu, saya berharap mereka mendapatkannya.

“Gunakan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh kerajaan. Dos penggalak untuk menguatkan semula dos vaksinasi berganda anda,” katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan tiga tahun sekali Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan kecil Kampung Tengah Spaoh di Balai Raya di sini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata setakat semalam, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mendedahkan kira-kira 86.3 peratus penduduk negeri telah memperoleh dos penggalak.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana varian Omicron sangat mudah merebak.

Sementara itu, Uggah turut berterima kasih kepada pengundi di sini atas sokongan mereka kepada beliau pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu.

Katanya, walaupun dua calon lain telah mencabarnya, namun kemenangan berpihak kepada beliau kerana rakyat menyokongnya sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS)-PBB.

“Mereka mengetahui hanya GPS mempunyai pemimpin yang sangat baik.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat, prihatin dan berwawasan untuk semua rakyat Sarawak. Mereka mahu beliau terus memimpin negeri,” katanya.

Terdahulu, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban melawat  Spaoh Waterfront Park bernilai RM6.2 juta dan pasar Spaoh bernilai RM5 juta yang sedang dalam pembinaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru