Thursday, May 26, 2022

Kahwin cepat, jika tidak…

Secara Rawak

FEBRUARI lazimnya dikaitkan sebagai bulan kasih sayang. Mungkin kerana dalamnya ada yang digelar sebagai Hari Kekasih, iaitu tanggal 14 hari bulan. Begitu juga bagi penulis sendiri, apabila hari jadi sang suri hati jatuh dalam Februari.

Selasa lalu bertarikh ‘22022022’ juga pastinya menjadi pilihan pasangan pengantin untuk mendirikan rumah tangga, difahamkan ramai yang melangsungkan perkahwinan pada tarikh cantik itu.

Kepada yang baru bergelar pengantin baharu, tahniah dan didoakan semoga kekal hingga ke akhir hayat. Aamiin.

Namun, ironinya ada satu isu yang boleh dikatakan ‘membimbangkan’ – tentang perkahwinan lewat. Kerana berdasarkan kenyataan rasmi Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia pada hujung tahun lalu, senario perkahwinan lewat di Malaysia berdasarkan data banci penduduk banyak berubah berbanding 1980-an.

Dahulu, pada 1980-an, 2000 dan 2010, umur purata perkahwinan perempuan meningkat daripada 19.4 kepada 25.1 tahun dan kemudian meningkat kepada 25.8 tahun pada 2010.

Iaitu purata peningkatan daripada 27.5 tahun (2016) kepada 28.1 pada 2020. Satu kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2018 mendapati, 86.8 peratus penduduk bujang berumur 25 hingga 49 tahun di negara ini mempunyai hasrat untuk berkahwin.

Namun, memberikan alasan bahawa mereka melewatkan perkahwinan disebabkan masalah kewangan dan peningkatan kos sara hidup, selain belum bertemu pasangan serasi. Ramai yang berusaha mengukuhkan kedudukan kewangan, terutamanya yang tinggal di bandar sebelum berkahwin.

Ia sejajar dengan pertumbuhan kadar urbanisasi dalam negara daripada 70.9 peratus (2010) kepada 76.2 peratus (2019) serta penyertaan wanita dalam tenaga buruh. Peratusan pekerja wanita meningkat daripada 74.3 peratus (2019) kepada 78.1 peratus (2020).

Manakala, lelaki meningkat daripada 74.5 peratus kepada 76.7 peratus dalam tempoh yang sama – lebih rendah. Sebaliknya, wanita dan lelaki yang bekerja sendiri dan pekerja keluarga tanpa gaji merekodkan penurunan kes kahwin lewat pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Tetapi sedarkah kita perkahwinan lewat memendekkan tempoh reproduktif dan menyebabkan kadar kesuburan semakin menurun? Betullah rezeki ‘anak’ jika Allah S.W.T. hendak bagi, sekelip mata… tidak kisah kahwin awal atau lewat.

Negara seperti Australia, United Kingdom, Japan dan Singapura pun sama. Tetapi adakalanya kita perlu bercakap dari sudut yang lebih luas, sehingga boleh merencatkan pembangunan sosioekonomi negara.

Mungkin usia ideal berkahwin bagi wanita sekitar 26 tahun dan lelaki 28 tahun. Sementara wanita yang mencapai usia 33 tahun dan lelaki mencecah usia 37 tahun sudah disifatkan lewat berkahwin.

Jika aliran ini berterusan, persoalannya adakah ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan populasi negara? Adakah ia akan menjejaskan sasaran peningkatan jumlah penduduk Malaysia kepada 44.5 juta menjelang 2050?

Hari ini pun kita dapat merasai kesan penurunan pesat kadar kesuburan penduduk dalam dekad yang lalu, telah mempercepatkan proses penuaan negara, sekali gus boleh mempercepatkan perubahan Malaysia menjadi negara tua.

Perkara ini akan menimbulkan masalah kepada negara pada masa akan datang kerana kita bakal kekurangan tenaga kerja, sekali gus terpaksa membawa masuk warga asing yang boleh diianggap satu pembaziran.

Dalam satu artikel Marriage Today yang dipetik daripada portal MyHealth menggariskan kesan trend kahwin lewat.

Pertama, individu yang lambat kahwin cenderung untuk menjadi lebih cerewet kerana pasangan yang sesuai menjadi lebih terhad.

Kedua, risiko tidak subur dan sukar mendapat anak juga menjadi kerisauan individu yang lambat kahwin.

Ketiga, individu yang lambat kahwin juga cenderung untuk mengalami kemurungan akibat perasaan sepi serta kerisauan dalam kehidupan.

Empat, individu yang lambat kahwin juga tidak dapat menikmati peluang awal untuk merasai nikmat dalam perkahwinan.

Bagaimanapun, tidak semua perkahwinan lewat harus dipandang negatif. Penulis yakin, banyak kupasan isu terbabit dari sudut positifnya. Konklusinya, jika mampu jangan tunggu lama-lama! Kerana Islam sendiri pun menganjurkan ia disegerakan dengan syarat seseorang itu boleh berkahwin iaitu kemampuan.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud; ”Barangsiapa memiliki kemampuan untuk kahwin, hendaklah ia berkahwin. “Hal itu lebih membantu menjaga pandangan serta melindungi kemaluan. Namun, apabila tidak mampu, hendaklah ia berpuasa. Dengan berpuasa, syahwatnya akan lemah,”.

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa apabila ada kemampuan, kahwinlah.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru