Thursday, May 26, 2022

Sarawak negeri kedua terbesar mempunyai badan sukan berdaftar

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak merekodkan pencapaian setelah sejumlah 1,501 buah badan sukan didaftar di pelbagai peringkat negeri, bahagian dan kelab setakat 31 Januari tahun ini.

Pesuruhjaya Sukan Malaysia Ibrahim Mohd Yusof berkata, rekod itu menjadikan Sarawak sebagai negeri kedua mempunyai badan sukan berdaftar selepas Selangor yang mencatatkan sebanyak 1,900 dalam tempoh yang sama.

Menurutnya, kebanyakan persatuan berdaftar bagaimanapun masih tidak jelas akan keperluan persatuan negeri yang mempunyai badan gabungan di peringkat bahagian.

“Sarawak sememangnya dikenali sebagai antara kuasa sukan negara dalam beberapa acara sukan dan peranan persatuan sukan peringkat negeri banyak memainkan peranan penting dengan menyumbang ke arah kejayaan tersebut.

“Justeru sesebuah badan sukan perlu ditadbir dengan cekap, profesional dan penuh intergriti untuk memperolehi pencapaian yang membanggakan seperti melahirkan atlet serta pegawai sukan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sesi Dialog Pesuruhjaya Sukan Malaysia bersama Persatuan-Persatuan Sukan Negeri Sarawak di Auditorium Kompleks Belia dan Sukan Sarawak Kuching, di sini hari ini.

Mengulas mengenai program berkenaan katanya, program tersebut bertujuan untuk berkongsi dan mendapatkan maklum balas secara terus dari pemegang taruh khususnya persatuan sukan negeri yang menerajui sukan di negeri ini.

Selain itu, objektif penganjuran program katanya adalah untuk menyampaikan maklumat berkenaan Akta Pembangunan Sukan dan amalan urus tadbir badan sukan selaras dengan amalan badan sukan antarabangsa.

Program tersebut dihadiri lebih 50 wakil badan sukan dan persatuan Sarawak termasuk 20 badan sukan dan persatuan yang baru berdaftar setakat November 2019 sehingga 30 Januari ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru