Thursday, May 26, 2022

Perdana Menteri, Menteri Perdana, Menteri Utama atau Menteri Premier?

Secara Rawak

Selepas Dewan Undangan Negeri  meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak pada Selasa, sekarang Datuk Patinggi  Tan Sri Abang Johari Tun Openg kini ialah Premier Sarawak.

Pelbagai justifikasi atau rasional telah dikemukakan oleh Menteri Pelancongan, Industri kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika pembentangan dan melalui kenyataan di sidang media berkaitan RUU berkenaan.

Menurut Karim ketika menjelaskan penggunaan “Premier” bagi menggantikan Ketua Menteri: “Ketua Persekutuan digelar sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah membentuk Persekutuan digelar Premier manakala subwilayah atau negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri”.

Abdul Karim berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini mengembalikan status Sarawak sebagai sebagai salah satu daripada tiga wilayah bersama Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah yang membentuk Malaysia.

Ia sekali gus katanya,  meletakkan Sarawak tidak boleh dianggap sama taraf dengan negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu dan status istimewa Sarawak perlu itu ditafsir dengan cara yang berbeza dengan negeri lain.

“Oleh itu, untuk memberi gambaran jelas status Sarawak berbeza dengan negeri lain adalah dicadangkan supaya nama jawatan Ketua Menteri digantikan kepada ‘Premier’.

“Seperti yang diamalkan di wilayah Komanwel lain yang penubuhannya serupa dengan Malaysia termasuk Australia dan Kanada, ketua Persekutuan disebut sebagai Perdana Menteri dan ketua wilayah yang membentuk Persekutuan disebut sebagai ‘Premier’ manakala negeri lain diketuai Ketua Menteri,” katanya.

Ketika perbahasan  pada Selasa, Adun Padungan Chong Chieng Jen  menyifatkan pindaan Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak bagi menggantikan terma pemimpin nombor satu Sarawak itu sebagai tindakan ‘syok sendiri’.

Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, tiada keperluan untuk menukar gelaran itu hanya untuk menunjukkan perbezaan status pemimpin Sarawak berbanding negeri lain di Malaysia.

“Itu hanya syok sendiri sebab apabila Abang Johari (Ketua Menteri) keluar dari Sarawak, beliau tetap dianggap sebagai ketua menteri sama juga seperti ketua menteri negeri lain dan kami beranggapan pindaan perlembagaan ini tidak memberi apa-apa manfaat,” katanya.

Menurutnya lagi, cadangan pertukaran terma jawatan itu menimbulkan kekeliruan terutamanya istilah sesuai dalam bahasa Melayu.

Ya, apa terjemahan sesuai untuk ungkapan itu dalam bahasa Melayu?

“Apa terjemahan yang sesuai untuk gelaran jawatan itu dalam bahasa Melayu? Kita mahu ia ditetapkan jika mahu nama jawatan Ketua Menteri ditukar kepada Premier. Sekarang timbul kekeliruan, bukan sahaja kalangan rakyat, tetapi juga media yang tidak selaras dalam menterjemah istilah itu dalam Bahasa Melayu.

“Misalnya Berita Harian menggunakan istilah ‘Perdana’ dan ada juga media lain menyebutnya sebagai ‘Perdana Menteri’ manakala yang lain ada juga kekal menggunakan ‘Premier’,” katanya dalam perbahasan itu.

Sehingga artikel ini  ditulis belum ada penjelasan daripada kerajaan Sarawak mengenai Premier dalam bahasa Melayu. 

Gelaran itu perlu diwartakan terlebih dahulu sebelum dapat digunakan secara rasmi.

“Premier” jika diterjemah ke bahasa Melayu jadi “Perdana”. 

Perdana menurut  takrifan Kamus Dewan Perdana terbitan 2020 bermaksud, paling utama atau paling penting, besar dan semasa, atau bendahara.

Jawatan Premier lazimnya diterjemah ke “Perdana Menteri”. 

Namun dalam konteks kerajaan persekutuan seperti Malaysia, tidak mungkin untuk Sarawak menggunakan gelaran Perdana Menteri Sarawak.

Apatah lagi Perdana Sarawak. Dalam bahasa Inggeris, penggunaan Premier Sarawak tidak ganjil, tetapi dalam bahasa Melayu, perlu disertakan dengan Menteri. 

artawan veteran A Kadir Jasin, menerusi hantaran di Facebook berkata di Malaysia Ketua Kerajaan negeri-negeri Melayu dipanggil Menteri Besar. Tidak ada gelaran dalam bahasa Inggeris untuk gelaran itu.

Ketua Kerajaan negeri-negeri Selat pula, yakni Pulau Pinang dan Melaka digelar Ketua Menteri atau dalam bahasa Inggeris “Chief Minister”. 

Sekarang Sarawak nak ‘stylized’ kan Ketua Menteri/Chief Minister menjadi Premier. Tapi Premier bahasa Inggeris. Adakah dalam bahasa Melayu pun mereka hendak guna Premier juga?

Kadir mengingatkan: “Jangan pula kita keliru antara Ketua Negara dengan Ketua Kerajaan. Ketua Negara Malaysia adalah Yang di-Pertuan Agong. Ketua Kerajaan adalah Perdana Menteri”.

Sudah pasti tidak  begitu sesuai untuk mengkelkan perkataan Premier bagi gelaran untuk bahasa Melayu. 

Ketetapan perlu dibuat segera kerana gelaran itu akan digunakan untuk majlis rasmi dan juga oleh media.

Mungkinkah ungkapan paling sesuai digunakan ialah Menteri Perdana atau Menteri Utama?

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru