Friday, August 19, 2022

Peniaga bimbang pengumuman kenaikan gaji minimum

Secara Rawak

MIRI: Pengumuman mengenai kenaikan gaji minimum mengundang kebimbangan kepada golongan majikan di Bahagian Miri.

Pengarah Urusan IANA Corporation SDN BHD, Mohammad Hafidz Rohani berkata, peratusan kenaikan sebanyak 25 peratus dari kadar semasa RM1,200 sangat membebankan ditambah dengan kenaikan harga barang mentah lain.

“Harga kos semakin tinggi menyebabkan margin keuntungan semakin kecil sehingga ada yang mengalami kerugian.

“Pada masa ini sebagai majikan, memang kami juga telah menaikkan gaji sebanyak 3 peratus hingga 7 peratus setahun bagi sesetengah pekerja berdasarkan prestasi kerja mereka dan senioriti kerja mereka,” ujarnya ketika mengulas mengenai perkara tersebut.

Pengerusi DUBS Miri, Samat Ali juga turut senada dengan mengatakan kenaikan pada masa ini adalah sangat tidak sesuai memandangkan peniaga masih mengalami kerugian akibat penutupan perniagaan dan pandemik COVID-19.

Kerajaan katanya harus memikirkan cara yang lebih holistik untuk tidak membebankan majikan namun dalam masa yang sama membantu pekerja.

Selain itu, perkara ini juga disokong oleh salah seorang ahli DUBS Miri yang mengusahakan resort di sini yang mana beliau berkata, kenaikan gaji ini akan meningkatkan bayaran lain pula termasuk kadar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan akan mengurangkan keuntungan perniagaan di saat perniagaan mula pulih.

Manakala, salah seorang pengusaha lagi, Fatimah Abdul Hamid berkata, kilangnya memerlukan ramai pekerja dari kalangan kategori ‘low skilled’ dan ‘low entry’ dan sekiranya pelaksanaan ini dilakukan ia mungkin mengakibatkan perniagaannya tidak mampu bertahan.

“Jika sesebuah syarikat telah mampu diangkat menjadi syarikat yang berteknologi tinggi dengan automasi dan digitalisasi, pelaksanaan jumlah gaji minimum tersebut mungkin boleh disambut dengan wajar,” katanya.

Bagi Setiausaha DUBS, Abdul Razak Joni pula, kenaikan gaji akan menyebabkan pengusaha terpaksa menaikkan harga kepada pelanggan dan kitaran inflasi ini tidak akan dapat diselesaikan.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan pada 5 Februari yang lepas, telah mengumumkan bahawa gaji minimum akan dinaikkan menjelang penghujung tahun ini.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru