Daun jadi punca jiran berkelahi hingga cedera

0
2

PALM BAY, Fla: Seorang wanita dari Palm Bay ditahan atas tuduhan menikam dua orang dan menolak seorang wanita tua dalam perkelahian besar membabitkan daun, lapor polis tempatan.

Kyong Moulton, 66, dituduh menikam dua jirannya yang tinggal di hadapan rumahnya.

Menurut afidavit tangkapan, Moulton memberitahu polis Palm Bay dia pulang ke rumah petang Ahad dan menemui longgokan daun di halaman depannya.

Dia mengesyaki ia diletakkan di situ oleh jirannya yang tinggal di seberang jalan.

Moulton kemudian mengeluarkan vakum peniup daun dan meniupnya semula ke halaman mereka, kata polis.

Salah seorang mangsa memberitahu polis sebaik sahaja melihat Moulton mengendalikan vakum tersebut, dia dan ibunya keluar untuk bersemuka dengannya, menurut rekod itu lagi.

Apabila kakak lelaki itu cuba campur tangan, Moulton menamparnya dan pergelutan pun berlaku.

Ketika itulah Moulton menikam kaki wanita tersebut dengan pisau.

Apabila lelaki itu cuba membantu kakaknya, dia pula ditikam di lengan, lapor WKMG ClickOrlando.

Adik-beradik itu turut mendakwa Moulton menolak ibu mereka sehingga dia jatuh.

Rakaman CCTV yang diperoleh di lokasi menunjukkan Moulton menolak lelaki itu, bergelut dengan kakaknya, dan ibu mereka jatuh ke tanah.

Namun, tiada insiden menunjukkan suspek menikam mereka, dakwaan yang turut dinafikan oleh Moulton.

Polis juga tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.

Moulton didakwa dengan dua tuduhan melakukan serangan ganas dan satu tuduhan menyerang seseorang yang berumur 65 tahun atau lebih.