Wednesday, June 29, 2022

Demokrasi terus subur di Malaysia

Secara Rawak

Menarik sekali laporan indeks demokrasi 2021 yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) semalam yang menempatkan Malaysia di tempat ke-39 daripada 167 buah negara dan wilayah di seluruh dunia mengenai kedudukan demokrasinya.

Seperti biasa, laporan badan antarabangsa mahupun badan serantau yang memberikan imej positif kepada negara tidak begitu mendapat liputan yang besar daripada portal-portal berita mahupun komen-komen yang positif daripada pihak pembangkang.

Faktanya jelas, iaitu demokrasi di Malaysia terus segar-membugar dari masa ke semasa, di mana bermula daripada 5.98 mata (daripada 10.00 mata) pada 2006, ia menaik menjadi 7.16 mata pada 2019, 7.19 mata pada 2020 dan 7.24 mata pada 2021.

Ini sekali gus membolehkan Malaysia berada pada kumpulan kedua demokrasi, iaitu demokrasi cacat, bersama-sama 52 negara lain, termasuk negara-negara yang demokrasinya jauh lebih awal seperti Perancis, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Gambar hiasan

Adalah membanggakan bahawa Malaysia berada pada tempat tertinggi di kalangan seluruh anggota ASEAN, mengatasi negara-negara jiran seperti Indonesia yang memperolehi 6.71 mata), Filipina (6.62 mata), Singapura (6.23 mata) dan Thailand (6.04 mata).

Walaupun kumpulan demokrasi cacat ini sebenarnya tidak begitu sedap didengar, ia tidaklah membawa konotasi yang negatif kerana kumpulan ini mengamalkan pilihan raya yang bebas dan adil serta menghormati kebebasan sivil asas rakyat mereka.

Ia adalah jauh lebih baik berbanding kumpulan rejim campuran yang dicirikan oleh kewujudan pilihan raya yang tidak bebas dan tidak adil, ketidakbebasan kehakiman dan media, keberleluasaan rasuah dan tekanan kepada pihak pembangkang.

Adalah diharapkan agar laporan indeks demokrasi 2021 yang dikeluarkan oleh EIU ini akan membuka mata sesetengah cendekiawan Barat yang selewat 2019 masih lagi mengkategorikan Malaysia ke dalam kumpulan rejim campuran.

Untuk memahami bagaimana indeks demokrasi ini diperolehi, kita perlu tahu bahawa EIU mengukurnya dari lima aspek, iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, keberfungsian kerajaan, penglibatan politik, budaya politik demokrasi dan kebebasan sivil.

Setiap aspek ini pula mempunyai kayu ukurnya, di mana proses pilihan raya dan pluralisme mempunyai 12 kayu ukur, keberfungsian kerajaan (14 kayu ukur), penglibatan politik (9 kayu ukur), budaya politik demokrasi (8 kayu ukur) dan kebebasan sivil (17 kayu ukur).

Antara 12 kayu ukur proses pilihan raya dan pluralisme ialah apakah pilihan raya bebas dan adil, apakah peluang berkempen diberikan sama rata, apakah rakyat bebas menubuhkan parti politik, dan apakah parti politik pembangkang mempunyai peluang untuk menang.

Dalam aspek proses pilihan raya dan pluralisme ini Malaysia mendapat mata amat tinggi, iaitu 9.58, sekali gus menunjukkan bahawa, walaupun masih ada kritikan di sana sini mengenai beberapa isu, proses pilihan raya negara kita diiktiraf oleh EIU sebagai bebas dan adil.

Antara 14 kayu ukur keberfungsian kerajaan pula ialah apakah rakyat yakin terhadap kerajaan, apakah Parlimen berkuasa, apakah wujud sistem semak dan imbang ke atas kuasa kerajaan, apakah kerajaan bersikap terbuka dan telus serta apakah rasuah berleluasa.

Dalam aspek keberfungsian kerajaan Malaysia mendapat mata yang agak tinggi, iaitu 7.86, sekali gus menunjukkan bahawa, walaupun Parlimen lama tidak bersidang pada 2021, kerajaan umumnya berfungsi dengan baik dan masih mendapat keyakinan daripada rakyat.

Antara 9 kayu ukur penglibatan politik pula ialah penyertaan pengundi dalam pilihan raya, tahap kesediaan rakyat untuk meminati dan mengikuti berita politik, serta tahap pemberian suara kepada kumpulan minoriti dan golongan wanita dalam proses politik.

Dalam aspek penglibatan politik juga Malaysia mendapat mata yang agak tinggi, iaitu 7.22, sekali gus menunjukkan bahawa rakyat meminati dan mengikuti berita politik dan keluar mengundi dalam pilihan raya serta kerajaan pula mengakomodasi semua pihak.

Walaupun begitu, mata yang diperolehi oleh Malaysia dalam aspek budaya politik demokrasi dan aspek kebebasan sivil tidak begitu tinggi, iaitu 6.25 mata dan 5.29 mata masing-masingnya, dan jika ini diperbaiki maka pastilah indeks demokrasi kita akan bertambah baik.

Walau apa pun, tempat ke-39 daripada 167 buah negara dan wilayah di seluruh dunia serta 7.24 mata daripada 10.00 mata ini adalah satu pencapaian yang cukup baik untuk Malaysia tatkala pencapaian banyak negara lain merudum disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Ia adalah satu pengiktirafan yang nyata kepada kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil-alih teraju pemerintahan negara mulai Ogos 2021 yang berkesinambungan dengan pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelumnya.

Adalah diyakini bahawa segala penambahbaikan ke atas sistem berkerajaan yang dirancang oleh Ismail Sabri, khasnya melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021, akan meningkatkan indeks demokrasi kita.

Komitmen kerajaan untuk menghormati kebebasan institusi Kehakiman serta memperkasakan kedudukan Institusi Parlimen termasuk mewujudkan semula kebebasan kewangan dan pentadbiran Parlimen pastilah akan menyuburkan lagi amalan demokrasi negara.

Begitulah juga dengan Transformasi Pentadbiran yang membabitkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti dan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi sepuluh tahun.

Apatah lagi bila Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), ketika ditemui penulis semalam, telah memberikan komitmen beliau untuk mengusahakannya sebelum atau pada 24 Mac ini.

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Penulis, Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff, adalah Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru