Sunday, September 25, 2022

Didik anak-anak untuk cintai alam sekitar dengan buku

Secara Rawak

KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Trienekens Sarawak Sdn. Bhd dan WWF-Malaysia menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) secara maya untuk bersama-sama membangun dan menerbitkan Buku Pengurusan Sisa Pepejal dan Pendidikan Alam Sekitar Sekolah Rendah khususnya kepada ahli Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS Club).

Buku tersebut merupakan terbitan pertama di negeri ini bertujuan memberi kesedaran kepada generasi muda berkaitan pengetahuan asas pengurusan sisa pepejal dan pelestarian alam sekitar yang telah dimeterai secara virtual melalui aplikasi Zoom pada Rabu.

Pengawal Kualiti Alam Sekitar NREB Sarawak, Peggy Ronin Edin berkata, usaha bersepadu oleh semua pihak adalah penting dalam menguruskan alam sekitar. 

“Isu alam sekitar seperti pencemaran udara dan air, serta keadaan cuaca yang melampau akibat perubahan iklim, menjadi penyumbang utama ekologi kita terjejas.” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Trienekens, Stephen Chin berkata, penerbitan buku itu dirancang untuk menyediakan sumber dan rangka kerja pendidikan yang khusus dalam menangani isu pengurusan sisa pepejal. 

“Untuk mengubah minda dan tingkah laku masyarakat kita terhadap pengurusan sisa pepejal, kita perlu mendekati dan mendidik anak-anak kita dari kecil lagi,” ujar beliau. 

Justeru, Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia, Dr Henry Chan turut mengatakan dengan penerbitan buku itu akan melengkapkan sumber pendidikan alam sekitar yang sedia ada di negara ini. 

“Kami berharap kerjasama antara NREB Sarawak dan Trienekens dalam projek ini akan membantu meningkatkan tahap kesedaran alam sekitar dan usaha mendidik murid sekolah terhadap kepentingan melindungi dan memelihara alam sekitar,” kata beliau. 

Untuk rekod, Kelab PALS merupakan Program Pendidikan Alam Sekitar yang ditubuhkan oleh NREB Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sejak tahun 1999 yang memfokuskan pelestarian alam sekitar, terdiri daripada 391 ahli dari sekolah rendah dan menengah seluruh Sarawak.

Majlis menandatangani MoA secara virual bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama ketiga-tiga pihak dan penerbitan buku tersebut akan dimulakan pada awal tahun 2022. 

Kira-kira 500 buku dijangka siap akan diedarkan dan digunakan oleh Kelab PALS di seluruh Sarawak.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru