Tuesday, June 28, 2022

Sarawak wujudkan hubungan langsung dengan peruncit serantau

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak akan mewujudkan hubungan langsung dengan peruncit serantau  dalam sektor pertanian untuk memanfaatkan peluang rantaian bekalan pertanian global.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, usaha berkenaan bertujuan untuk membina model pembekal langsung dalam sektor pertanian.

Ini berlaku di sebalik rangkaian bekalan global yang melemah, justeru kecekapan dan daya tahan tinggi amat penting, katanya.

“Oleh itu, kita mesti memanfaatkan potensi dua juta hektar tanah pertanian kita untuk menghasilkan makanan dan produk hiliran pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan tindakan dan Pelaksanaan (AIP) bagi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, di sini, semalam.

Kerajaan juga, katanya memberi galakan sektor swasta yang punya modal, teknologi dan kepakaran untuk menerokai pengeluaran huluan bagi buah-buahan, sayur-sayuran, penternakan haiwan dan makanan laut.

Justeru, ujar beliau, amat penting bagi negeri ini mempunyai prasarana fizikal dan digital yang efektif.

Abang Johari menyeru usahawan pertanian agar meningkatkan keupayaan dan kualiti pengeluaran mereka melalui model dan pendekatan pertanian komersial yang inovatif.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru