Tuesday, June 28, 2022

Rumah musnah terbakar, 16 orang hilang tempat tinggal

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 16 orang hilang tempat berteduh apabila rumah mereka di lorong 2, Kampung Tanjung Bako, di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata kebakaran yang dilaporkan kira-kira jam 1.38 pagi membabitkan sebuah rumah berstruktur tidak kekal, berukuran 40 kali 40 kaki persegi.

Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan diatur gerak ke lokasi kejadian dan dibantu oleh lapan anggota dari BBP Tabuan Jaya.

“Komander operasi melaporkan pasukan bertugas mengalami kesukaran untuk masuk ke lokasi berikutan jalan kampung yang sempit.

“Api sedang marak ketika jentera pertama tiba dan pasukan bomba membuat pemadaman dengan teknik “Offensive Firefighting” dan “Fire Break” untuk mengawal kebakaran dari merebak ke rumah berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba dapat mengawal kebakaran terbabit pada jam 2.14 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 4.25 pagi.

Jelasnya, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian.

Tambahnya, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru