Tuesday, June 28, 2022

Kampung Tegarai kini dapat rangkaian 4G

Secara Rawak

LIMBANG: Pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Tegarai telah memberikan sinar baharu kepada penduduk. 

Ketua Kampung Tegarai Wahap Moktar mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya Menteri Muda Pemodenan dan Pembangunan Wilayah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, penduduk kampung kini dapat menarik nafas lega setelah menara telekomunikasi yang didirikan SKMM itu memulakan operasinya sejak 27 Disember 2021 dengan liputan rangkaian 4G.

“Syukur alhamdulillah kini 250 orang penduduk bukan hanya dapat menikmati kemudahan internet dari satu telco sahaja malah semua telco menyediakan perkhidmatan mereka di menara tersebut. 

“Liputan menara tersebut turut boleh dinikmati penduduk di Rumah Ajut, Kampung Kubong,” katanya semasa ditemu bual Wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di perkarangan Dewan Kampung Tegarai pada Ahad. 

Sejak menara telekomunikasi itu siap, selain Digi perkhidmatan telco lain juga turut memasang perkhidmatan mereka. 

Sebelum ini penduduk kampung berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan liputan internet dan terpaksa keluar 4 hingga 5 kilometer dari kampung bagi mencari kawasan yang mempunyai liputan. 

Menerusi liputan telekomunikasi ini juga telah memberikan banyak kemudahan dan manfaat kepada penduduk Kampung Tegarai dan sekitarnya apabila dapat mengakses pelbagai maklumat pada bila-bila masa.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru