Tuesday, September 27, 2022

Tiong bidas KJ

Secara Rawak

BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing melahirkan kekecewaan terhadap pendekatan yang diambil kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani kes Covid-19 yang meningkat secara mendadak kepada 10,000 ketika ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong membidas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin  kerana walaupun kes meningkat, dakwanya, tiada apa-apa pun dilakukan secara serius dari segi pencegahan dan kawalan.

Justeru, kata beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China berkata, Khairy harus memikirkan langkah lebih proaktif dan berkesan dalam menangani peningkatan jangkitan  sebelum menjadi tidak terkawal serta memudaratkan kesihatan awam seperti yang berlaku pada dua tahun lepas.

“Memandangkan kes jangkitan di negara ketika ini kembali meningkat dan membimbangkan, saya mempersoalkan kenapa beliau  selaku menteri yang bertanggungjawab penuh bagi mengendalikan kes Covid-19 di negara ini seakan-akan berpeluk tubuh termasuk enggan membenarkan orang awam memilih jenis vaksin mereka kehendaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiong berkata sikap Khairy umpama “seorang kapten di atas kapal yang mahu karam”, yang sekadar meminta orang ramai supaya bertenang apabila situasi semakin serius.

Katanya, KKM perlu memberitahu orang ramai mengenai hala tuju dan langkah pencegahan yang berkesan untuk memerangi wabak ini, dan bukannya hanya mengumumkan angka.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru