Tuesday, June 28, 2022

Sarawak perlukan 1.8 juta biji telur sehari

Secara Rawak

KUCHING: Isu kekurangan telur ayam di seluruh Sarawak menjadi topik hangat kebelakangan kerana dianggarkan lebih kurang 300,000 biji telur tiada di pasaran setiap hari setakat ini.

Berdasarkan data daripada 10 syarikat telur ayam yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di negeri ini, dianggarkan sebanyak 1,540,000 biji telur ayam sehari dikeluarkan pada awal bulan Februari tahun ini.

Ini bermakna dianggarkan keperluan telur ayam sehari di Sarawak sekitar 1,850,000 biji.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Datuk Stanley Tan, masalah tersebut berikutan berlaku peningkatan permintaan telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas Tahun Baharu Cina (TBC).

Di samping itu, katanya terdapat ladang ternakan ayam dan telur ayam serta syarikat logistik penghantaran tidak beroperasi sepanjang cuti perayaan tersebut malah ada yang cuti lebih lama, hingga melebihi dua hari.

Bagaimanapun, beliau yakin bekalan tersebut akan kembali stabil dan meliputi di semua lokaliti di Sarawak apabila ladang pengeluar telur ayam dan syarikat-syarikat penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi.

“Kementerian yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi di seluruh negeri apabila semua ladang, syarikat dan logistik beroperasi semula.

“KPDNHEP Sarawak juga telah mengarahkan supaya semua peruncit untuk memperbaharui stok yang ada di premis masing-masing dan menghubungi pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan pengguna untuk tidak membuat pembelian panik atau lebih daripada biasa yang diperlukan kerana isu bekalan yang berlaku adalah terpencil dan akan kembali normal dan stabil selepas cuti TBC, seperti maklum balas diterima daripada pemain industri.

“KPDNHEP Sarawak sentiasa mengambil tindakan awal yang perlu bagi mengenal pasti punca yang berlaku dan mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi isu kekurangan bekalan telur ayam ini,” tegasnya.

Selain itu katanya, seramai 173 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sarawak dan 101 pegawai pemantau harga sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari ke atas kedudukan bekalan barangan keperluan utama di setiap rantaian pengedaran, iaitu di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

Ujarnya, di samping ayam dan telur, barang-barang lain yang turut dipantau termasuklah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur ayam dan bawang melalui penentuan Harga Maksimum bermula 5 Februari 2022 hingga 5 Jun 2022.

Sementara itu, laporan Unit Kawalan KPDNHEP Sarawak pada 29 Januari melaporkan sebanyak 1,601,324 biji telur dikeluarkan pada tarikh tersebut.

Jumlah pengeluaran di Kuching ialah 785,304 biji, Sarikei (5,520), Sibu (710,000).

Manakala di Miri ialah 96,000 biji dan di Lawas sebanyak 4,500 biji.

Pengurangan bekalan telur ayam ke daerah Miri dan Limbang adalah berikutan permintaan yang tinggi dari pengguna dan juga disebabkan musim perayaan selain pembelian panik oleh orang awam.

Kementerian menjangka bekalan akan pulih dan kembali seperti biasa dalam beberapa minggu lagi.

Sementara tinjauan di pusat bandar mendapati rata-rata peniaga kedai runcit memaklumkan bekalan telur ayam ketika ini terhad kemungkinan dipercayai permintaan tinggi ekoran sambutan TBC namun tetap dijual mengikut harga ditetapkan.

Telur ayam Gred A harga 13.50 sepapan (30 biji) berbanding hanya RM 12.90 pada minggu pertama bulan Januari.

Krisis bekalan telur ayam semakin memuncak apabila bekalan di seluruh negara dijangka merosot sehingga 4.5 juta biji sehari atau lebih sekiranya kerajaan terus mengekalkan harga sedia ada tanpa sebarang kenaikan atau subsidi.

Ia berdasarkan kira-kira 1,500 pengusaha ladang ayam membekalkan antara 27 juta hingga 30 juta telur sehari terpaksa mengurangkan pengeluaran sehingga 15 peratus kerana tidak mampu menampung kos operasi semakin meningkat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru