Tuesday, June 28, 2022

Penjawat awam digesa terus komited laksana tugas

Secara Rawak

LIMBANG: Kerajaan Sarawak telah mewujudkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang merupakan usaha untuk menyusun semula dasar pembangunan Sarawak supaya terus berada pada landasan yang betul ke arah menjadi negeri maju menjelang tahun 2030. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, melalui strategi ini, Kerajaan Sarawak mempunyai hala tuju yang jelas untuk memastikan semua rakyat Sarawak dapat mengecapi nikmat pembangunan serta mempertingkatkan pendapatan melalui pelbagai inisiatif agar jurang kemiskinan di bandar dan di luar bandar dapat dikurangkan.

Katanya, cita-cita ini pastinya akan dapat dicapai jika kita bekerjasama untuk memastikan semua perancangan dan pelaksanaan program pembangunan khususnya pembangunan infrastruktur dilaksanakan dengan cekap. 

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus bersatu dan komited agar visi dan misi 2030 akan menjadi kenyataan. 

“Saya yakin dan percaya dengan semangat berpasukan dan kerjasama yang utuh antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan selama ini telah memakmurkan Sarawak amnya dan Bahagian Limbang khususnya walaupun dalam suasana yang amat mencabar ekoran tercetusnya wabak COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Hari Perkhidmatan Awam Bahagian Limbang dan Majlis Apresiasi Residen Bahagian Limbang yang diadakan di Hotel Purnama Limbang pada Ahad. 

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah mengucapkan tahniah kepada Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Pejabat Daerah Limbang di atas pencapaian dan pengiktirafan di dalam perkhidmatan awam. 

“Saya mengambil maklum bahawa perkhidmatan awam di Bahagian Limbang telah menerima pencapaian dan pengiktirafan dalam pelbagai inisiatif kualiti yang disertai demi memastikan kemajuan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. 

Antaranya adalah seperti Pejabat Residen dan Daerah Limbang telah memenangi Anugerah Emas YAB Ketua Menteri Sarawak (Tempat Pertama Kategori Pejabat Residen dan Daerah) pada tahun 2019. 

“Manakala baru-baru ini pada tahun 2021, Kumpulan Lands Tahai Q dari Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang telah memenangi Anugerah ʺPAR EXCELLENCEˮ dalam 46th International Convention On Quality Control Circles 2021 di Hyderabad India,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, pencapaian sebegini menunjukkan kemampuan penjawat awam di Bahagian Limbang bukan sahaja dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat tetapi juga mampu mengharumkan nama jabatan dan Sarawak amnya.

Dalam pada itu, ini merupakan majlis terakhir buat Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi yang akan berpindah tugas ke Kuching mulai 7 Februari ini. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Limbang Sebi Abang, Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak Datuk Awang Bujang Awang Antek dan Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latip. 

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru