Friday, August 19, 2022

Komen Tiong tentang prestasi  Khairy, Dr Noor Hisham

Secara Rawak

BINTULU: Menteri Kesihatan Khairy  Jamaluddin sebagai seorang menteri yang berwibawa dan prihatin  dan sentiasa mendengar rintihan serta pandangan rakyat bagi  menangani peningkatan Covid-19 bakal menentukan hala tuju serta proses pemulihan berkesan di negara ini, kata Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tegas Duta Khas Perdana Menteri ke China itu, kegagalan Menteri Kesihatan dan pasukannya mengurangkan kadar jangkitan kes juga akan mempengaruhi prestasi kerajaan.

Ia jelasnya melibatkan nyawa orang awam yang semakin terdesak dan bimbang dengan peningkatan kes melonjak naik.

Katanya lagi, masyarakat umum dimaklumkan bahawa 99 peratus kes positif Covid-19 adalah dalam kategori ringan dan Menteri Kesihatan serta Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sedang menangani wabak ini.

“Namun, dari segi pencegahan dan kawalan, boleh dikatakan tidak ada pendekatan berkesan yang dilakukan sehingga menyaksikan peningkatan kes positif Covid-19 naik mendadak melebihi 10,000 kes hanya dalam masa seminggu,” kata Tiong dalam satu kenyataan.

Ketika ini katanya, beliau hanya melihat Khairy dan Dr Noor Hisham  hanya kelihatan di kaca televisyen seolah-olah mahu menunjukkan kewujudan mereka sahaja tetapi tidak mengambil sebarang tindakan yang berkesan untuk cuba membendung penularan kes jangkitan Covid-19.

Memerangi wabak pembunuh ini tegasnya tidak boleh hanya bergantung pada sesi sidang media semata-mata, sebaliknya orang awam harus diberitahu mengenai hala tuju dan langkah pencegahan yang berkesan untuk memeranginya.

“Sekiranya lonjakan jangkitan ini berpunca daripada pengembara yang pulang dari luar negara sehingga menyebabkan jangkitan dalam komuniti, apa pula tindakan Kementerian Kesihatan khususnya dari segi kawalan pintu sempadan, jalan-jalan tikus dan sebagainya, jika kawalannya baik, kenapa varian Omicron boleh tersebar?,” soal Adun Dudong itu lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru